HASRAT PULANG BERAYA TIDAK KESAMPAIAN, DUA BERANAK MAUT KEMALANGAN

MARANG: Hasrat dua beranak pulang ke kampung di Marang bagi menyambut Aidilfitri tidak kesampaian apabila kedua-dua mereka maut dalam insiden melibatkan 3 buah kenderaan di Kilometer 28 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan dekat Kampung Pulau Kerengga, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian jam 6.30 pagi itu, mangsa Subhi Sayuti Abd Ghani, 43, maut di lokasi kejadian akibat cedera parah manakala anak perempuannya, Syuhada Hafiya Subhi Sayuti, 7, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Md Dris berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza dinaiki mangsa bersama anaknya dari arah Kuala Lumpur memasuki laluan bertentangan.
Beliau berkata, Perodua Alza mangsa kemudian merempuh sisi kiri hadapan kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Rexton Ssyangyong dari arah bertentangan dinaiki enam sekeluarga.
Katanya, akibat rempuhan itu kenderaan mangsa berpusing, dan impak perlanggaran menyebabkan lelaki itu maut ditempat kejadian manakala pemandu serta penumpang Rexton Ssyangyong mengalami kecederaan.
Ujar beliau, anak perempuan mangsa yang mengalami kecederaan parah akibat insiden telah di bawa ke hospital sebelum disahkan meninggal dunia.
Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Marang, Zulbahry Sulong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.47 pagi dan bergegas ke lokasi bersama sembilan anggota.
“Dalam kenderaan Rexton terdapat enam mangsa yang selamat dan telah dikeluarkan oleh orang awam.
“Bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan mangsa dari Perodua Alza yang kemudian disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM,” katanya. –AlHijrah Online