Heineken 0.0 vs Barbican

DR IRWAN MOHD SUBRI

SEJAK minuman Heineken 0.0 dikeluarkan, ramai yang tertanya-tanya akan status halalnya. Adakah produk seumpamanya yang telah dinyah alkohol halal diminum umat Islam? Walaupun pihak syarikat pengeluar menyatakan ia produk bukan halal dan hanya untuk kegunaan orang bukan Islam berusia 21 tahun ke atas, masih kedapatan orang Islam yang tersilap membelinya kerana menyangka ia halal berikutan slogan ‘Now You Can” serta promosi ‘’zero alkohol” sebagaimana dalam iklan produk di media.

Bagi mengupas persoalan ini, BERITA ALHIJRAH melalui wartawan HANAN MOHD SAID menemubual PROFESOR MADYA DR IRWAN MOHD SUBRI, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) bagi menerangkan status minuman tersebut dan cara menentukan status produk itu dilakukan.

ALHIJRAH: Pada pendapat Dr., adakah status tanpa alkohol Heineken 0.0 boleh mengelirukan pengguna Islam?

DR IRWAN: Merujuk kepada iklan yang disiarkan oleh akhbar tersebut, saya berpendapat ia memang mengelirukan pengguna, kerana ia menekankan unsur tanpa alkohol (zero alcohol). Hanya orang yang benar-benar teliti sahaja akan perasan kewujudan penafian yang menyatakan minuman tersebut adalah untuk bukan Islam sahaja, dan untuk mereka yang berumur 21 tahun ke atas.

Walaupun ia minuman tanpa alkohol, ia tetap haram kerana mengikut keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-7 berkenaan apa-apa jenis minuman yang telah disuling daripada alkohol, tetap dikira haram. Jadi saya menasihatkan kepada pengguna Muslim atau mana-mana individu Muslim supaya berhati-hati dan merujuk kepada pihak-pihak berkaitan yang berautoriti terutama pihak JAKIM sendiri untuk mengetahui status minuman tersebut.

ALHIJRAH: Suatu ketika dahulu, Barbican juga dianggap mengelirukan. Ia juga minuman tanpa alkohol.

DR IRWAN: Barbican adalah sejenis minuman yang agak popular di negara Arab, dibawa masuk ke Malaysia dan banyak dijual di restoran-restoran Arab. Ketika timbul isu berkenaan dengan Barbican, memang pihak JAKIM sendiri meminta umat Islam supaya tangguh terlebih dahulu untuk minum sehingga benda itu dijelaskan hukumnya, dari segi kandungan dan sebagainya.

Tidak lama selepas itu, memang telah disahkan oleh JAKIM bahawa air Barbican itu tidak mengandungi unsur-unsur najis atau haram. Jadi diharuskanlah untuk kita minum. Maka, untuk kita menyamakan hukum antara Barbican dan Heineken 0.0 ini tidak betul, sebab kes Heineken 0.0 ini berbeza dengan Barbican.

Heineken 0.0 pada asalnya memang mengandungi alkohol, manakala Barbican ini dikatakan atau ada dakwaan ia mengandungi alkohol. Namun setelah mendapat pengesahan daripada pihak JAKIM, ia telah disahkan bahawa ia tidak mengandungi alkohol dan harus diminum.

ALHIJRAH: Bagaimana menentukan halal-haram sesuatu produk itu, sedangkan kalau dilihat antara kedua-duanya, ia seakan sama, tanpa alkohol?

DR. IRWAN: Pengharaman sesuatu perkara bergantung kepada illah. Dalam bahasa Arab ia dipanggil illah, iaitu rasional hukum atau sebab hukum. Dalam menentukan suatu minuman itu haram atau tidak, selalunya kita akan merujuk adakah wujud illah memabukkan yang terdapat dalam khamar iaitu arak. Sekiranya sesuatu minuman mengandungi illah atau sebab yang sama dengan arak (memabukkan), maka minuman tersebut akan dikategorikan sebagai haram.

Pemberian nama tidak penting. Maksud saya ialah andai kata sesuatu minuman itu pada satu hari nanti dinamakan teh tarik, tetapi mengandungi unsur alkohol, unsur memabukkan, maka ia akan jatuh haram untuk diminum oleh individu Muslim walaupun namanya teh tarik yang selama ini harus diminum. Ini kerana pengharaman sesuatu minuman itu dilihat pada kandungan dalam minuman

tersebut, sama ada ia mengandungi illah yang sama dengan khamar ataupun tidak. Sekiranya ada, maka air tersebut akan mengambil hukum yang sama dengan arak, iaitu haram diminum. Sebaliknya kalau tidak ada unsur memabukkan itu, maka ia tidaklah haram diminum.

ALHIJRAH: Berbalik kepada Heineken 0.0, alkohol yang menjadi unsur memabukkan itu telah dihilangkan dari minuman itu, tapi kenapa masih dikira haram?

DR. IRWAN: Sebab itulah dalam isu Heineken 0.0 dan Barbican, perlu melihat kepada ‘illah. Wujudkah ‘illah alkohol itu terdapat dalam Heineken 0.0 dan Barbican. Kalau kita melihat pada isu ini, dalam Heineken 0.0, ia memang berasal daripada alkohol cuma telah disuling atau dipanaskan dalam tahap tahap celcius tertentu, maka alkoholnya hilang. Asalnya ia adalah alkohol yang diharamkan. Sebab itu keputusan awal ini kita boleh ambil daripada keputusan Muzakarah yang saya sebutkan tadi.

Ini kerana kita merujuk kepada pandangan dalam mazhab Shafie yang menjadi amalan dan teras pegangan umat Islam kita di Malaysia, terutama Jawatankuasa Fatwa di peringkat negeri atau kebangsaan. Dalam mazhab Shafie, kalau dalam unsur istihalah, ia mestilah terjadi sendiri. Contohnya ialah proses daripada arak menjadi cuka tanpa ada gangguan dan sentuhan manusia, yang terbentuk semula jadi. Berlainan dalam isu Heineken 0.0, sudah pasti kita tahu ia buatan manusia. Kerana itulah keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan mengkategorikan ia sebagai minuman yang diharamkan.

ALHIJRAH: Apa pendapat Dr. tentang penglibatan pihak berkuasa agama atau pihak terbabit dalam memastikan orang Islam tidak keliru dengan produk seperti ini?

DR. IRWAN: Bagi saya, pihak berkuasa agama atau yang berkaitan dengan halal ini perlu ada garis panduan yang lebih ketat dan sebagainya terutama kepada syarikat-syarikat atau pengeluar-pengeluar produk seperti Heineken ini supaya tidak mengeluarkan produk yang boleh mengelirukan pengguna Islam.

Kita bimbang kerana produk alkohol memang dijual di 7-Eleven, Speedmart dan sebagainya, tapi kalau orang yang tidak begitu cakna dengan hukum, tidak cakna dengan kandungan minuman tersebut, maka dia boleh terkeliru. Sebab itulah saya menasihati pihak berkuasa agama seperti JAKIM dan sebagainya untuk mengambil berat peraturan menghalang dan melarang pengeluar-pengeluar minuman yang beralkohol supaya tidak mengeluarkan minuman sebegitu. Kita bimbang anak muda, remaja kita, remaja Muslim akan terkeliru dalam memilih produk minuman seperti ini.

Dari segi garis panduan itu, kena pastikan supaya pihak pengeluar tersebut mematuhi segala peraturan dan garis panduan dalam mempromosi produk terutama ayat-ayat yang mengelirukan. Contohnya seperti kata-kata “zero alcohol” dalam kes Heineken 0.0. Penafian yang dipamerkan seharusnya dibesarkan tulisannya supaya senang nampak. Merujuk kepada iklan itu, penafian ditulis sangat kecil sehingga pembeli tidak perasan.

ALHIJRAH: Akhirnya, apa panduan Dr. kepada pengguna Muslim?

DR. IRWAN: Sekiranya sudah tahu produk itu dikeluarkan syarikat mana, contohnya macam syarikat Heineken tersebut, kena semak terlebih dahulu sama ada minuman tersebut halal atau tidak. Dari segi sifat waraknya, umat Islam memang kena hati-hati dalam memilih makanan sebab pemilihan makanan dan minuman akan mempengaruhi keperibadian seseorang individu tersebut.

Kita nasihatkan kepada pengguna Muslim supaya sentiasa merujuk kepada pihak berkuasa agama yang berkaitan halal ini untuk memastikan minuman dan makanan yang mereka ambil ini adalah benar-benar halal. Sekiranya produk minuman yang dikeluarkan syarikat-syarikat minuman arak ini, lebih baik kita elakkan supaya tidak menimbulkan fitnah dan keliru statusnya. Selain itu ia memberi satu persepsi atau tanggapan yang kurang baik sekiranya seseorang Muslim itu membeli produk mereka.

Kepada pihak pengeluar air tersebut pula, kita nasihatkan juga jangan mengelirukan umat Islam khususnya. Mereka perlu merujuk garis panduan yang sedang dikuatkuasa dalam urusan pemasaran dan promosi produk. Di Malaysia, memang kita ada garis panduan yang ketat tentang suatu produk halal. Maka lebih baik merujuk pihak berkuasa halal itu dari segi memasarkan produk mereka, supaya umat Islam tidak terjerumus dalam pemilihan produk yang meragukan, apatah lagi yang haram.

Leave a Reply