HENTI TUGAS LOJI, PENCEMARAN SUMBER AIR MENTAH DI SUNGAI SELANGOR

KUALA LUMPUR: Bekalan air di 1,274 kawasan di Selangor sekali lagi terjejas apabila Loji Rawatan Air Sungai Selangor (SSP) 1, 2 dan 3 serta Loji Rawatan Air Rantau Panjang dihenti tugas awal pagi tadi.

Tindakan diambil berikutan pencemaran air sumber mentah dikesan di Sungai Selangor.

LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 11.30 malam semalam, manakala LRA Sungai Selangor pula pada jam 1 pagi tadi.

Sebanyak 1,274 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terkesan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari bagaimanapun memaklumkan insiden pencemaran telah beransur pulih setakat awal pagi tadi.

“Bacaan 0 TON telah dicapai setelah usaha mengatasi pencemaran dibuat oleh LUAS,” kata Amirudin menerusi Twitter.

“Loji Rawatan Air Rantau Panjang telah mula beroperasi manakala LRA SSP 1, 2 dan 3 sedang melalui proses pembersihan sebelum beroperasi semula.

“Bekalan air dijangka pulih seperti biasa.”

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) baru-baru ini menubuhkan Skuad Pantas bagi pemantauan 24 jam tanpa henti di kawasan sensitif sungai-sungai di Selangor.—AlHijrah Online

Leave a Reply