HUFFAZ TONGGAK PENTING BANGUNKAN NEGARA

KUALA LUMPUR: Para graduan huffaz yang mempunyai kemahiran dan ilmu Al-Quran memainkan peranan yang amat penting dalam membantu membentuk masyarakat dan membangunkan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata graduan huffaz perlu menggunakan Ilmu yang mereka ada untuk mendidik masyarakat perkara yang diajar dalam Al-Quran.
“Para graduan huffaz semua adalah tonggak penting untuk bersama-sama Kerajaan bagi melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani untuk membangunkan negara ke arah yang lebih cemerlang.
“Saudara saudari perlu turun ke medan lapangan termasuk media sosial, membawa amanah ilmu Al-Quran yang terpikul di atas bahu saudara semua,” kata dalam catatan di Facebook.


Mohd Na’im hari ini menyempurnakan Majlis Istiadat Konvokesyen Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ke-31 yang meraikan seramai 657 graduan huffaz.
“Berkat daya usaha, kegigihan, kesabaran dalam mengharungi alam pengajian dan pengorbanan, akhirnya telah berjaya memikul tanggungjawab selaku hamalatul Quran.
“Ucapkanlah terima kasih kepada ibu bapa dan para pensyarah masing-masing kerana doa dan pengorbanan mereka, kita berjaya sampai ke tahap ini,” katanya
Sejak penubuhan Darul Quran JAKIM pada tahun 1966 sehingga hari ini seramai 11,128 orang graduan huffaz telah dilahirkan. — AlHijrah Online