KUALA TERENGGANU: Hukuman sebatan terhadap individu pertama di Terengganu yang melakukan kesalahan khalwat berulang, akan dilaksanakan pada 27 Dis ini.
Pelaksanaan hukuman sebat itu sepatutnya dilaksanakan pada 6 Dis, namun ditangguhkan susulan permohonan semakan yang difailkan kepada Mahkamah Rayuan Syariah pada 3 Dis lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pelaksanaan Syariah Terengganu Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sebatan di khalayak ramai itu akan dilakukan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini selepas solat Jumaat.
Jelasnya Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu yang bersidang pada 11 Dis lalu memutuskan permohonan semakan yang dibuat adalah teratur dan selaras dengan Seksyen 18 Enakmen Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
Katanya hasil persidangan itu keputusan hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 Nov lalu turut dikekalkan iaitu hukuman enam sebatan dan denda RM4,000 atau enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda.
Beliau berkata keputusan itu dibuat sebulat suara oleh panel Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu dan maklumat lanjut berhubung prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan hukuman akan dikeluarkan pihak berkuasa sebelum hukuman dilaksanakan kelak.
Tambah Muhammad Khalil, hukuman sebatan yang dikenakan terhadap pesalah jenayah takzir itu adalah sebagai pengajaran agar individu lain tidak melakukan dan mengulangi kesalahan sama.
Katanya pelaksanaan hukuman sebatan takzir itu juga bertujuan untuk menunjukkan perbezaan antara sebatan sivil dan syariah.
Pada 20 Nov lalu, seorang tukang rumah, Mohd Affendi Awang, menjadi individu pertama di Terengganu yang dikenakan hukuman sebat di khalayak ramai kerana kesalahan khalwat berulang kali ketiga.—AlHijrah Online