IBADAH UMRAH DIBENARKAN BERMULA 4 OKTOBER

RIYADH: Arab Saudi umum membenarkan semula umat Islam menunaikan umrah bermula 4 Oktober depan selepas lebih enam bulan menggantung kebenaran ibadah itu sejak Mac lalu susulan penularan COVID-19.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, keputusan tersebut selepas mengambil kira hasrat dan aspirasi umat Islam untuk menunaikan ibadah tersebut.

Pun begitu jelas kenyataan yang dikeluarkan kementerian tersebut, kebenaran akan dibuat secara berperingkat dan mematuhi langkah pencegahan kesihatan yang diperlukan bagi mengelak penularan COVID-19.

Ujar kementerian itu pada peringkat pertama, kira-kira 6,000 warganegara dan penduduk Arab Saudi sahaja akan dibenarkan untuk melakukan ibadah umrah setiap hari mulai 4 Oktober depan.

Pada peringkat kedua jumlah jemaah akan ditingkatkan kepada 15,000 sehari namun masih melibatkan warganegara dan penduduk di dalam negara itu.

Umat Islam dari luar Arab Saudi hanya akan dibenarkan mengerjakan ibadah umrah pada peringkat ketiga yang bermula 1 November depan dan bilangan jemaah ketika itu ditingkatkan kepada 20,000 orang pada setiap hari, kata kementerian tersebut.

Jumlah jemaah pada kapasiti penuh atau 100 peratus hanya akan dibuat pada peringkat keempat selepas pandemik COVID-19 diumumkan tamat oleh badan berkaitan.

Bagaimanapun sumber kementerian Arab Saudi itu memaklumkan, semua peringkat dan fasa kebenaran yang dirancang mungkin berubah kerana tertakluk kepada perkembangan semasa COVID-19. — AlHijrah Online

Leave a Reply