IBADAH UMRAH MULA AHAD INI

Ibadah umrah bermula Ahad ini akan menguatkuasakan SOP ketat sebagai mana musim haji baru-baru ini

MAKKAH, ARAB SAUDI: Selepas tujuh bulan tidak menerima jemaah umrah, Masjidil Haram akan kembali ‘meriah’ dengan ibadah berkenaan yang dijadual bermula Ahad ini.

Sudah pasti, ia akan mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat dalam setiap pergerakan jemaah dari mula hingga akhir ibadah umrah masing-masing.

Memetik Saudi Gazette, jemaah umrah terpilih akan dimasukkan dalam kelompok dengan setiap kelompok mempunyai 1,000 jemaah.

Jemaah akan dibawa oleh ketua kumpulan masing-masing dari perkarangan Masjidil Haram memasuki ruang tawaf.

Pelbagai persediaan dilakukan bagi menyambut ‘kembalinya’ ibadah umrah.

16 ketua kumpulan akan menjadi juruiring jemaah-jemaah terbabit bermula dari ibadah tawaf hingga selesai bersa’i dan bertahalul.

Ruang tawaf paling dekat dengan Kaabah akan dikhususkan kepada jemaah berkeperluan khas, berkerusi roda dan warga emas.

Ibadah umrah juga diperuntukkan pada jam bermula 7 pagi dan akan dihentikan jam 3 pagi.

Masjidil Haram akan kembali aktif dan meriah dengan ibadah umrah meski pun dalam suasana pematuhan SOP ketat

Kamera pengesan suhu resolusi tinggi juga dipasang di setiap pintu masuk Masjidil Haram, manakala ibadah iktikaf di dalam masjid berkenaan dilarang sama sekali, termasuklah membawa makanan dan minuman ke ruangan masjid.

Masjidil Haram juga akan dicuci 10 kali setiap hari, khususnya selepas selesai ibadah-ibadah umrah.

Semua tandas akan dicuci dan disteril enam kali sehari. Manakala permaidani, kerusi roda dan eskalator di dalam kompleks Masjidil Haram akan disteril secara berkala.

Untuk permulaan pada Ahad ini, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi memaklumkan kira-kira 6,000 penduduk negara itu akan dibenarkan menunaikan umrah setiap hari.

Jemaah dari luar Arab Saudi pula akan dibenar berbuat demikian mulai 1 November dengan kapasiti dinaikkan sehingga 20,000 orang setiap hari. – AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Leave a Reply