COVID-19: 287 KES BAHARU, CIPTA REKOD KES HARIAN TERTINGGI

PUTRAJAYA: Dalam tempoh 24 jam sebanyak 287 kes baharu COVID-19 telah dikesan menjadikan jumlah kes harian tertinggi pernah dicatat sejak mulanya pandemik itu di Malaysia.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes itu hanya untuk penularan tempatan sahaja, dan menjadikan kes terkumpul sebanyak 11,771 dengan kes aktif sebanyak 1,540 kes.

“Trend peningkatan ini yang Kementerian Kesihatan (KKM) khuatiri dan diperingatkan hampir setiap hari kepada semua pihak, kerana perkara itu sememangnya selari dengan trend peningkatan jumlah kes dan kematian COVID-19 yang dilihat di seluruh dunia,” katanya pada sidang media perkembangan COVID-19 hari ini.

Tiada kematian baharu akibat COVID-19 dilaporkan untuk hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian kekal 136 kes.

Beliau berkata 20 daripada kes baharu hari ini adalah individu yang pulang dari Sabah, menjadikan jumlah kes yang dilaporkan mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah sejak 20 Sept lepas sebanyak 139 kes.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat dua kluster baharu dikesan di Selangor, iaitu Kluster Seri Anggerik dan Kluster Seri Setia.

Dalam pada itu sebanyak 81 kes pulih COVID-19 direkodkan, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sebanyak 10,095 kes. —AlHijrah Online

Leave a Reply