IBU MAUT DIPENGGAL KEPALA OLEH ANAK

KUALA SELANGOR: Seorang ibu maut selepas dipercayai dipenggal kepala oleh anaknya yang positif dadah, di Kampung Baru Pasir Penambang di sini semalam.

Kejadian melibatkan suspek, 28, yang membunuh mangsa, 56, ketika berada di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah di sekitarnya.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata, kejadian disedari salah seorang daripada anak mangsa yang pergi ke kediaman ibunya kerana gagal menghubungi mangsa.

“Sebaik tiba di rumah itu, anak mangsa nampak ruang tamu rumah berlumuran darah dan suspek yang terkejut terus melarikan diri ke arah belukar di belakang rumah,” katanya, hari ini.

Ramli berkata, polis menerima maklumat kejadian kira-kira jam 5.45 petang sebelum menahan suspek di kawasan belukar tersebut dengan bantuan penduduk kampung.

Pihak polis juga turut menemui parang yang disyaki digunakan untuk memenggal kepala mangsa dalam tandas rumah tersebut.

Katanya, suspek yang juga penganggur menetap bersama ibu dan bapanya manakala anak-anak mangsa lain menyewa di kawasan berdekatan.

“Laporan awal ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan amphetamine.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) atas kesalahan membunuh dan mahkamah Majistret Kuala Selangor membenarkan reman selama tujuh hari sehingga Sabtu depan,” katanya.–AlHijrah Online

Leave a Reply