INDIVIDU BERPAKAIAN MENJOLOK MATA PADA KEDAH FASHION WEEK BERDEPAN TINDAKAN

 ALOR SETAR: Kerajaan negeri Kedah akan mengambil tindakan terhadap individu yang berpakaian menjolok mata pada acara Kedah Fashion Week (KFW) yang tular semalam.

Exco Kesihatan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata pihaknya telah memanggil pihak Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Hasil pertemuan tersebut, difahamkan individu berkenaan bukanlah peserta yang dijemput untuk memperagakan pakaian di dalam acara KFW.

“Identiti individu berkenaan juga difahamkan adalah seorang ‘maknyah’ yang berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai, mengambil gambar serta video dan memuat naik di dalam media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat.

Oleh itu katanya kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

Selain itu kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan peraturan-peraturan kecil yang berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila negeri Kedah. – AlHijrah Online

Leave a Reply