INDUSTRI SOKONG KKM SEKAT JUALAN CECAIR VAPE DALAM TALIAN

KUALA LUMPUR: Pemain industri menyokong tindakan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menyekat penjualan cecair rokok elektronik atau vape dalam talian, terutama di platform e-dagang yang sukar dikawal.
Presiden Persatuan E-Vaporizes dan Tembakau Alternatif Malaysia (MEVTA), Rizani Zakaria berkata, langkah itu dapat mengawal penjualan cecair vape terutama dalam kalangan generasi kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah.
“Saya bersetuju dengan pihak kerajaan. Kita menyokong pengharaman penjualan melalui atas talian terutama di platform e-dagang seperti Shopee, Lazada dan lain -lain,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas saranan Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye yang menyokong usaha untuk mengharamkan penjualan cecair tersebut dalam talian.
KKM sebelum ini bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan ke atas mereka yang menjual cecair vape yang mempunyai nikotin kerana dilarang mengikut Akta Racun 1952 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mengulas lanjut, Rizani berkata, pengharaman jualan cecair vape dalam talian dikhuatiri bukan jalan penyelesaian terbaik kerana ia mungkin mewujudkan penjualan di pasaran gelap yang dilihat lebih sukar dikawal.
Sebaliknya, beliau mencadangkan KKM mengeluarkan garis panduan penjualan vape, termasuk jualan dalam talian, untuk dijadikan rujukan peniaga dan pengusaha.
“Ini bukan sahaja dapat mengawal penjualan cecair vape, malah tindakan juga mudah untuk diambil KKM kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan.
“Kita bersedia bekerjasama dengan KKM untuk mencari penyelesaian menang-menang dalam isu penjualan vape,” katanya. – AlHijrah Online/Zaim Zamani