‘INI BUKAN CARANYA’ – PEJABAT MUFTI WILAYAH PERSEKUTUAN

KUALA LUMPUR: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan hari ini menegur tindakan sebuah madrasah yang meletakkan replika kayu berbentuk capal pada hadapan mihrab atau sudut bahagian imam dalam surau.

Menerusi ciapan di laman Twitter, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkata hiasan yang diletakkan di tempat solat itu bukan cara melahirkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW.

“Kita semua mencintai Nabi SAW. Apa yang berkaitan dengan Nabi kita sayang dan hormat. Namun ini bukan caranya. Jika sekadar diletakkan di dinding rumah, kopiah boleh diterima.

“Namun meletakkannya di tempat solat bukanlah sesuatu yang sepatutnya dilakukan. Mencintai Nabi SAW mestilah dalam ruang lingkup yang dibenarkan,” kata ciapan itu.

Jelas Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan lagi, kasih dan sayang kepada Rasulullah SAW digalakkan melalui pembacaan sirah Nabi Muhammad SAW, perjuangan Baginda dan kesusahan yang Baginda tempuhi.

Selain itu, umat Islam juga digalakkan untuk menyebarkan hadis-hadis Nabi Muhammad SAW agar ianya boleh diiikuti.

“Bacakan syamail dan kesempurnaan Nabi SAW dari sudut akhlak dan lahiriyah.

“Galakkan anak-anak dan masyarakat untuk sentiasa berselawat ke atas Nabi SAW. Inilah cara sebenar untuk menyebarkan rasa cinta kepada Nabi Muhammad SAW,” kata ciapan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

Sejak semalam tular gambar replika capal berkenaan di laman-laman media sosial yang mendapat reaksi pelbagai. — AlHijrah Online

Leave a Reply