ISU KALIMAH ALLAH: KDN AKAN PUTUSKAN TINDAKAN SUSULAN

GAMBAR ARKIB

KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melakukan tindakan susulan daripada aspek undang-undang berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam berkaitan isu kalimah “Allah” dan hal-hal lain yang dibawa oleh seorang wanita keturunan Melanau dari Sarawak, Jill Ireland Lawrence Bill.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya mengambil maklum terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang dibawa Jill Ireland terhadap KDN.

“Dalam hal ini, KDN memutuskan tindakan susulan daripada aspek perundangan selepas menerima alasan penghakiman secara bertulis dari pihak Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, semua pihak diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi mahupun tafsiran sendiri ke atas keputusan tersebut dan meminta semua pihak untuk menghormati proses perundangan dan kehakiman negara.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah Allah dan tiga perkataan lain iaitu solat, Kaabah dan Baitullah dalam penerbitan agama itu, untuk pendidikan dalam komuniti mereka.

Keputusan kes itu, mengambil masa selama 13 tahun dua bulan, sejak difailkan pada 2008.

Pada 2008, Jill Ireland memfailkan semakan kehakiman untuk menuntut semula lapan cakera padat mengandungi kalimah Allah yang dirampas dan relif hak perlembagaannya untuk mengamalkan agamanya dilanggar dengan menyekat atau melarang pengimportan bahan pendidikan. — AlHijrah Online

Leave a Reply