MASJID SHARIFAH FATIMAH, JITRA RAIH ANUGERAH PERDANA STANDARD PENARAFAN MASJID MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Masjid Sharifah Fatimah, Jitra, Kedah hari ini dinobat pemenang Anugerah Perdana Standard Penarafan Masjid Malaysia.

Anugerah tersebut disampaikan sempena Anugerah Masjid Malaysia anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disiarkan secara langsung oleh TV AlHijrah.

Pengiktirafan itu melayakkan Masjid Sharifah Fatimah membawa pulang wang tunai berjumlah RM 50,000 berserta sijil penyertaan.

Pengurusan kewangan yang baik, serta program dakwah yang berimpak tinggi merentasi agama seperti karnival ‘ISLAM FOR ALL’ mendorong para juri daripada JAKIM memilih masjid tersebut sebagi pemenang.

Masjid itu yang pernah dinobat masjid terbaik peringkat negeri juga memiliki keindahan sekeliling antaranya tanaman pohon kurma dan tanaman lain yang menggamit suasana indah.

Bagi Imam Masjid Sharifah Fatimah, Mohamad Fida’iy Zainal Abidin, kemenangan itu adalah hasil keprihatinan ahli jawatankuasa dan jemaah masjid yang memberikan sumbangan tidak terhingga.

“Mereka memberikan sumbangan wang ringgit, tenaga dalam mengimarahkan Masjid Sharifah Fatimah. Moga-moga Allah SWT membalas jasa anda semua,” katanya.

Hadiah kepada pemenang disampaikan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Abdul Aziz Jusoh.

Turut hadir pada majlis Anugerah Masjid Malaysia di Pusat Penyiaran Digital TV AlHIjrah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Berikut merupakan senarai pemenang bagi lain-lain kategori:

  • Anugerah Pengurusan Dinamik: Masjid Saidina Abu Bakar, Wilayah Persekutuan
  • Anugerah Masjid Berkebajikan: Masjid Kota Damansara, Selangor
  • Anugerah Landskap Komersial: Masjid Jamek Pengkalan Hulu, Perak
  • Anugerah Mesra Komuniti: Masjid As-Sobirin, Perlis
  • Anugerah Pengurusan Bestari: Masjid Sharifah Fatimah, Kedah
  • Anugerah Pengimarahan Kreatif: Masjid Dato’ Kelana Petra, Negeri Sembilan dan Masjid Abdullah Fahim, Pulau Pinang
  • Anugerah Kelestarian Komuniti: Masjid Ar-Rahmah, Melaka
  • Anugerah Pengimarahan Berimpak: Masjid Al-Jawahir, Johor
  • Anugerah Pengimarahan Solat: Masjid Taman Temerloh Jaya, Pahang
  • Anugerah Khidmat Komuniti: Masjid Nur Bakti, Terengganu
  • Anugerah Komuniti Prihatin: Masjid Ismail Petra, Kelantan
  • Anugerah Pengimarahan Etnik: Masjid An-Nur, Sarawak
  • Anugerah Pengimarahan Strategik: Masjid Imam Haji Awang Hashim, Sabah

Kesemua pemenang akan membawa pulang wang tunai RM 20,000 dan sijil penyertaan. — AlHijrah Online

Leave a Reply