ISU SYRIA: SALAI TAHANAN MACAM KAMBING GOLEK

Rejim Bashar al Assad menggunakan berpuluh-puluh kaedah untuk menyiksa rakyatnya yang menentang dan disyaki terbabit dengan sebarang aktiviti anti-kerajaan.

Berdasarkan bukti berjaya diseludup keluar oleh bekas jurugambar rejim yang dikenali dengan kod nama Caesar, ia mendedahkan 72 cara telah digunakan.

Melalui gambar berkenaan, identiti 801 individu telah dikenalpasti bertanggungjawab melakukan kezaliman itu.

Lakaran dan butirannya dimuat naik Syian Network for Human Rights (SNHR) di laman Facebooknya.

Ia menunjukkan 27 imej tahanan diperlakukan di luar batasan kemanusiaan dan menjalani pelbagai cara siksaan dari sekecil-kecil dengan dicucuk jarum, pin atau skru ke bahagian badan tahanan sehingga ke tahap disalai seperti “kambing golek”.

Itu belum dikira mereka yang dikenakan renjatan elektrik dan dibelasah tanpa sampai mati.

“Laporan mendedahkan tiga kaedah asas siksaan: penderaan fizikal, yang terdiri daripada 39 cara, penafian hak mendapat rawatan membabitkan enam cara, keganasan seksual, lapan cara, penderaan psikologi dan penghinaan maruah manusia, lapan cara, penderaan di hospital tentera sembilan cara dan sebagai tambahan dipaksa menjadi buruh paksa sebagai cara pengasingan”, kata SNHR.

Dalam laporan setebal 65 muka surat itu, SNHR merekodkan kematian lebih 14,131 tahanan antara Mac 2011 hingga September 2019, di mana 173 kanak-kanak dan 45 wanita turut menjadi korban siksaan.

Jumlah itu termasuk 189 mangsa yang dibunuh sepanjang tahun ini.

Menurutnya, sejak kebangkitan menuntut hak demokrasi pada Mac 2011, hampir 1.2 juta rakyat Syria ditahan. Selepas lebih lapan tahun, 130,000 daripada mereka kini masih dipenjara.

Perincian mengenai imej dan butiran siksaan yang dilakukan tentera rejim dan sekutunya ke atas rakyat Syria boleh didapati di Facebook Anas Alshamy dan sn4hr.org. — Razali Awang (Syria Care)

Leave a Reply