JABATAN KESIHATAN KEDAH NAFI DAKWAAN PELAJAR MENINGGAL DUNIA AKIBAT VAKSIN

Sumber Gambar: AFP

ALOR SETAR: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah menafikan dakwaan seorang pelajar perempuan di Baling, Kedah, meninggal dunia akibat suntikan vaksin COVID-19.

Pengarahnya, Dr Othman Warijo berkata, pihaknya sudah membuat siasatan segera berkenaan perkara tersebut dan mendapati dakwaan itu tidak benar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati individu tersebut merupakan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sekali gus bukan lagi pelajar sekolah.

“Allahyarham telah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 pada 5 September lalu di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Abdul Razak, Baling.

“Gadis itu mengadu sakit perut pada 19 September dan telah diberi rawatan di Hospital Baling, namun selepas 20 hari divaksin, gadis tersebut dibawa semula ke hospital tersebut kerana tidak sedarkan diri,” katanya.

Tambah Othman, tahap kesihatan gadis itu merosot teruk dan kemudiannya disahkan meninggal dunia sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini bagi bedah siasat.

Hasil bedah siasat mendapati gadis tersebut meninggal dunia akibat ‘ruptured aortic aneurysm’ dan tiada kaitan dengan suntikan vaksin COVID-19.

Sebelum ini, tular di media sosial berkenaan seorang pelajar perempuan di daerah Baling meninggal dunia selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Othman menasihati masyarakat umum supaya elakkan daripada mempercayai serta menyebarkan berita yang tidak sahih di samping mendapatkan maklumat yang sahih berkaitan vaksin dan jangkitan COVID-19.–AlHijrah Online

Leave a Reply