JAKIM SASAR E-MUALLAF DIGUNA PAKAI DI SELURUH NEGARA HUJUNG TAHUN INI

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Hakimah Mohd Yusoff ketika sidang media pada Majlis Perasmian Simposium Guru-Guru Mualaf Peringkat Kebangsaan Kali Pertama Tahun 2022 di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini. — Gambar: Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyasarkan e-Muallaf, sistem pangkalan data mengenai saudara baru, akan diguna pakai di seluruh negara hujung tahun ini.

Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata setakat ini terdapat seramai 58,670 mualaf yang telah berdaftar dalam sistem itu, dan hanya Perlis, Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu serta Kuala Lumpur yang mengguna pakai sistem tersebut pada masa ini.

“Kita akan berunding dengan pihak negeri sebab sekarang ni sudah menjadi satu keperluan juga untuk kita ada satu pangkalan data untuk membantu mualaf-mualaf ini.

“Sesetengah (negeri lain) itu mungkin sudah ada kaedah pendaftaran sistem dan sebagainya, (namun) kena ada perbincangan lanjut,” katanya kepada media selepas merasmikan Simposium Guru-guru Mualaf Peringkat Kebangsaan 2022, di sini hari ini.

Hakimah berkata sistem e-Muallaf bukan sahaja bertujuan untuk memudahkan penukaran status agama dan nama tetapi juga melibatkan kebajikan mualaf dan memudahkan pengesanan jenazah.

“Kita selalu dengar perebutan jenazah antara keluarga dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN). Ia berlaku kerana rekod tidak jelas manakala pendaftaran nama dan sebagainya tidak mengikut proses undang-undang.

“Dengan adanya sistem ini, insya-Allah ia akan mengurangkan isu sedemikian. (Kita) bimbang jika berlarutan akan mengganggu keharmonian dalam negara antara kaum,” katanya.

Sistem e-Muallaf 1.0 dibangunkan pada 2013 bagi mewujudkan satu pangkalan data terpusat maklumat saudara muslim di seluruh Malaysia.

Sistem itu telah ditingkatkan kepada e-Muallaf 2.0 dengan tambahan fungsi cetakan kad mualaf secara terus melalui sistem. Kad mualaf itu juga dilengkapi dengan kod QR bagi memudahkan semakan.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Ahmad Marzuk Shaary dalam ucapannya pada simposium itu yang dibacakan Hakimah berkata kini terdapat lebih 315 orang guru kelas fardu ain saudara baru.

Menurut Ahmad Marzuk, guru yang terdiri daripada kaum Cina, India, Sikh, Orang Asli, Dusun dan Iban itu telah lama memeluk Islam dan mempunyai kefahaman Islam yang mendalam malah mempunyai sijil dalam bidang pengajian Islam. – AlHijrah Online

Leave a Reply