JANDA BAIK DITUTUP SEMENTARA KEPADA PELANCONG

BENTONG : Semua aktiviti pelancongan di kawasan Janda Baik, dekat sini, ditutup sepenuhnya sehingga pengumuman rasmi dibuat kerajaan negeri.

Arahan itu selepas mengambil kira risiko yang masih ada selepas kawasan tersebut dilanda fenomena banjir luar biasa pada 18 Disember lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, dalam tempoh penutupan itu, kerajaan negeri akan membuat penilaian kerugian serta kerja baik pulih infrastruktur yang rosak teruk dalam kejadian terbabit.

Menurut Sharkar, seramai 33 daripada 54 pengusaha chalet mengalami kerosakan dan hampir 300 pekerja mereka kehilangan sumber pendapatan susulan banjir baru-baru ini.

“Nilai kerugian pula kita anggarkan antara RM4 hingga RM5 juta dan ada antaranya (chalet) ranap sepenuhnya dan memerlukan modal serta masa untuk dibina semula,” katanya kepada media selepas melakukan tinjauan di Pulau Santap, dekat Janda Baik, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Sharkar turut memaklumkan pihaknya akan berbincang dengan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan mengutus surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi memberi perhatian khusus kepada usaha membaikpulih kemudahan asas di kawasan pelancongan ini.

Beliau berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangakn peruntukan khas kepada pengusaha chalet dan resort yang terjejas teruk.

“Boleh dikatakan kebanyakan pengusaha chalet atau resort ini perlu memulakan semula dari awal, termasuk kerja pembinaan semula chalet mereka,” katanya.

Mohd Sharkar juga berharap proses baik pulih infrastruktur seperti jalan raya dan jambatan yang rosak dapat disegerakan bagi memudahkan urusan penduduk setempat dan pengunjung nanti. — AlHijrah Online

Leave a Reply