WANITA TULAR ‘BERINTERAKSI’ DENGAN NABI MUHAMMAD AKAN DIKAUNSELING

KUALA LUMPUR: Wanita yang tular videonya mendakwa berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah akan dipanggil menjalani sesi kaunseling di pejabat agama negeri yang terlibat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad berkata, sesi kaunseling tersebut bagi membetulkan pemahaman wanita tersebut.

“Jika kita tahu lokasi wanita berkenaan, kita minta pejabat agama negeri terlibat memanggil beliau untuk sesi kaunseling.

“Saya faham dalam keadaan langit terbuka semua orang boleh bercakap. Jika dahulu, penulis kolum akhbar akan disemak oleh editor tetapi sekarang semua boleh jadi wartawan, jurugambar, penerbit dan tukang cetak,” katanya, hari ini.

Idris turut menasihatkan orang ramai untuk mempelajari ilmu agama dengan pihak bertauliah bagi mengelak kekeliruan dan terpesong akidah.

Sebelum ini, tular sebuah video menunjukkan seorang wanita yang mendakwa dirinya telah berinteraksi dengan Nabi Muhammad SAW di sebuah hotel di Makkah.

Dalam video tersebut, wanita itu mendakwa dirinya telah dibuka hijab matanya untuk melihat Nabi Muhammad SAW.

Wanita tersebut memberitahu Nabi Muhammad SAW mendoakan kebaikan buat rakyat Malaysia selain turut menyebut nama isteri nabi, Siti Khadijah dan anak baginda, Fatimah Az-Zahra.–AlHijrah Online

Leave a Reply