JANGAN GUNA MASJID UNTUK BERKEMPEN: MUJAHID

KUALA LUMPUR: Semua calon dan parti politik bertanding diingatkan untuk tidak menjadikan masjid sebagai pentas politik untuk berkempen.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, masjid adalah tempat beribadah dan bukan tempat untuk berpolitik.
Katanya, larangan itu juga selari dengan titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar untuk tidak menggunakan masjid di negeri itu sebagai gelanggang politik.
“Sultan Johor telah berkali-kali mengingatkan tentang masjid tidak dijadikan tempat untuk kita menggunakan politik di sana, jadi saya harap semua pihak berpolitiklah dalam kempen nanti tapi jangan gunakan masjid untuk tujuan kempen.
“Masjid adalah tempat ibadat semua parti akan datang situ,” kata Mujahid kepada pemberita selepas hadir Hari Terbuka Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara hari ini.
Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai 16 November ini menyaksikan pertandingan enam penjuru antara calon Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa) dan dua calon Bebas.
Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Bersatu yang mewakili PH pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung. — AlHijrah Online/Zaim Zamani