JASAD BAKAL PENGANTIN LEMAS DITEMUI

MARANG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bakal pengantin yang hilang di Pantai Kelulut pada Jumaat lalu dihentikan selepas mayatnya ditemui jam 8.55 pagi tadi.

Jasad Naim Hariri Kamaruddin, 31, dijumpai anggota keselamatan yang sedang membuat rondaan kira-kira 3 kilometer dari lokasi dilaporkan mangsa lemas.

Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superitendan (DSP) Mohd Zain Md Dris, pada awalnya anggota penyelamat melihat satu objek seakan gumpalan tali di tepi pantai.

Selepas didekati, ia dipercayai jasad manusia yang terdampar di atas pasir dalam keadaan sempurna anggota badan.

Setelah itu, proses pengecaman mayat telah dibuat keluarga mangsa dan mereka mengesahkan jasad itu adalah Allahyarham Naim Hairi berdasarkan ciri-ciri fizikal mangsa.

“Kita menjumpai satu mayat lelaki yang terdampar lebih kurang 3 kilometer dari pos kawalan tempat kejadian ini.

“Saya telah memanggil bapa mangsa yang dikatakan lemas 3 hari lepas dan beliau telah mengecam bahawa mayat yang dijumpai itu adalah mayat anaknya berpandukan kepada beberapa identiti yang ada pada mayat itu,” kata Mohd Zain.

Mayat tersebut kemudian dibawa ke Unit Forensik, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk proses selanjutnya.

Jumaat lalu, seorang lelaki dikhuatiri lemas setelah hilang di Pantai Kelulut kira-kira jam 6.40 petang.

Mangsa yang dijadual bernikah pada Sabtu dikatakan ke pantai itu dipercayai untuk mandi sebelum dilihat terkapai-kapai dan dihanyutkan arus laut.–AlHijrah Online

Leave a Reply