KERETA API TERGELINCIR AKIBAT TANAH MENDAP

JOHOR BAHRU: Sebuah kereta api dari Gemas ke Johor Bahru yang membawa 24 orang penumpang dan empat orang kakitangan tergelincir dari landasan berhampiran Kampung Kurnia, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata kejadian berlaku pada 7.49 malam itu melibatkan lima gerabak iaitu tiga gerabak penumpang, satu gerabak generator dan satu gerabak enjin.

“Tiada kecederaan yang dialami oleh kesemua mangsa yang terlibat, dan kejadian dipercayai berpunca dari tanah yang mendap,” kata Mohd Pazli.

Pihak Keretapi Tanah Melayu (KTM) memaklumkan bahawa landasan kereta api tersebut telah mendap terlebih dahulu sebelum kereta api melalui landasan tersebut.

Tambahannya, kejadian ini berlaku di lokasi yang berhampiran dengan projek landasan berkembar.

Ulas Mohd Padzli, kesemua penumpang dan kakitangan KTM yang terlibat dalam kejadian itu meneruskan perjalanan ke Johor Bahru Sentral dengan menggunakan perkhidmatan bas.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Keretapi Tanah Melayu (KTMB) Mohd Rani Hisham Samsudin memaklumkan, ketika ini perkhidmatan tren dihentikan sementara di stesen Kempas Bahru.

“Penumpang akan disediakan disediakan kenderaan perantara bagi meneruskan perjalanan ke stesen JB Sentral dan sebaliknya.

“Kerja-kerja pemulihan trek sedang giat dijalankan di kawasan kejadian,” katanya.

Pihak KTMB memohon maaf kepada penumpang yang terlibat dalam kejadian itu dan sebarang maklumat akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.–AlHijrah Online

Leave a Reply