JAWI ANJURKAN WEBINAR KECINTAAN KEPADA NABI MUHAMMAD SAW

KUALA LUMPUR: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) akan menganjurkan Webinar: International Discourse on Maulidur Rasul SAW pada Khamis, 12 November bermula 9 malam hingga 11 malam.

Penganjuran webinar ini mendapat kerjasama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dan Persatuan Ulama’ Malaysia (PUM).

Seramai 12 orang tokoh terkemuka dari dalam dan luar negara yang akan membicarakan topik dalam webinar tersebut yang bertemakan “Loving Our Prophet Across Continents”.

Webinar tersebut akan dikendalikan dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab.

Dalam mewujudkan kecintaan kepada Nabi Muhammad SAW, penganjuran webinar ini turut bermatlamat mewujudkan kesedaran tentang isu penghinaan ke atas Rasulullah SAW yang menyebabkan kemarahan seluruh umat Islam di dunia.

Ucaptama webinar akan disampaikan oleh Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Dr Luqman Abdullah.

Tokoh-tokoh dan agamawan tanah air yang akan membuat pembentangan termasuklah Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Wan Mohamad Abdul Aziz, Pengarah JAWI, Mohd Ajib Ismail, dan Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan.
Muhyidin Aziz @ Saari.

Turut serta, Profesor Dr Mohd Roslan Mohd Nor, Ketua Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, merangkap Setiausaha Agung Persatuan Ulama’ Malaysia.

Turut terlibat, cendekiawan Islam dari Turki, Pakistan, Amerika Syarikat, Kanada, Qatar, Brunei, India serta Indonesia.

Orang ramai boleh membuat pendaftaran dan mengajukan soalan awal melalui pautan https://bit.ly/38n6Bzv serta mengikutinya melalui Zoom Meeting: http://bit.ly/MaulidurRasulInternationalDiscourse atau Facebook rasmi JAWI.–AlHijrah Online

Leave a Reply