JAWI FOOD BANK, MANFAAT GOLONGAN SASAR

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Menyedari masalah pembaziran makanan yang berleluasa, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) bersama beberapa agensi kerajaan dan syarikat tempatan tampil melaksanakan inisiatif JAWI Food Bank.

Ketika dilancarkan semalam, bantuan makanan berjaya diagihkan kepada 150 asnaf dan penerima zakat yang berdaftar dengan Baitulmal MAIWP di sekitar Wilayah Persekutuan. Para gelandangan juga tidak terkecuali dalam menerima bantuan tersebut.

Datuk Sri KK Chai merupakan antara penyumbang dalam program JAWI Food Bank.

Projek perintis yang diadakan ini bertujuan menjadikan masjid sebagai pusat pengagihan makanan dan bagi peringkat permulaan, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad dipilih sebagai lokasi pelancaran program berkenaan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh menyifatkan ia satu program yang menarik kerana menjadikan masjid sebagai pusat pengagihan makanan.

Ia selaras dengan konsep masjid RAHMAH yang memberikan fokus terhadap menyantuni golongan yang memerlukan.

Menyantuni golongan yang memerlukan adalah sesuatu yang sangat ditekankan oleh Islam.

“Ini inisiatif pertama JAWI dan menjadikan masjid sebagai pusat pengagihan . Lebih menarik, penyumbangnya dari kalangan orang bukan Islam namun penerimanya orang Islam. Ini menunjukkan Malaysia menghala ke landasan yang betul kerana sifat kasih sayang untuk bantu membantu itu wujud tidak kira bangsa dan agama”. Katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Program JAWI Food Bank di Masjid Jamek Sultan Abdul Samad.

JAWI Food Bank dilaksanakan menerusi kerjasama strategik pelbagai pihak antaranya Yayasan Pembangunan Ekonomi Malaysia (YaPEIM), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Wilayah Persekutuan.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh mengagihkan bantuan kepada asnaf

Beberapa agensi turut terlibat dalam menjayakan program ini seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Sukarelawan Dakwah Islamiah JAWI (SUDI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta beberapa pasaraya serta rangkaian restoran terpilih.

Antara bahan makanan asas yang diagihkan seperti roti, beras, tepung, minyak, gula, sayur-sayuran serta buah-buahan.

Leave a Reply