JAWI, MAIWP TERUS SANTUNI GOLONGAN TERKESAN MELALUI DAPUR IT’AM 5.0

KUALA LUMPUR: Program Dapur It’am 5.0 di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diteruskan hari ini dengan edaran 300 pek makanan tengah hari percuma kepada golongan yang memerlukan di Surau Al-Falah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Hilir, Kuala Lumpur.

Selain makanan siap masak, turut diedarkan hari ini 300 pek barangan mentah ayam dan udang.

Edaran Dapur It’am di surau tersebut hari ini turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Pengarah JAWI, Datuk Mohd Ajib Ismail.

Dapur It’am 5.0 adalah program berkonsepkan soup kitchen yang berpusat di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan bagi menyediakan edaran pek makanan bermasak secara percuma kepada golongan sasaran yang memerlukan dengan menyasarkan sifar lapar dalam tempoh pandemik COVID-19.

Selain edaran makanan percuma Dapur It’am, JAWI Food Bank turut menyerahkan sumbangan 100 pek beras 5 kilogram untuk ditempat di Gerobok Rezeki Surau berkenaan supaya dapat diagihkan kepada golongan yang memerlukan sekitar kariah tersebut.

Menurut JAWI, sehingga kini, lebih 71 buah masjid dan surau di Wilayah-Wilayah Persekutuan menyediakan bantuan barangan keperluan asas kepada golongan yang terjejas melalui program Gerobok Rezeki. — AlHijrah Online

Leave a Reply