JEREBU: 300 PELAJAR MALAYSIA DI RIAU DAN JAMBI DIEVAKUASI

300 pelajar Malaysia di Riau dan Jambi, Indonesia akan dievakuasi. Foto Arkib REUTERS

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan melakukan proses evakuasi 300 pelajar Malaysia di kawasan yang terjejas teruk ekoran jerebu di Provinsi Riau dan Jambi, Indonesia, dalam masa terdekat.

Proses evakuasi ini akan dilakukan Kementerian Luar dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi berkaitan, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini berkata, proses evakuasi ini akan membabitkan pelajar Malaysia di daerah yang diisytiharkan Darurat Pencemaran Udara oleh Kerajaan Indonesia bermula 23 September hingga 30 September ini.

ā€œKeadaan jerebu di wilayah tersebut berada pada tahap yang sangat membimbangkan dengan bacaan IPU di antara 550 dan 700 iaitu dalam kategori berbahaya,ā€ kata kenyataan itu di sini.

Kenyataan Wisma Putra itu berkata Kementerian Luar dan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta telah mengaktifkan bilik operasi bagi memastikan kelancaran proses evakuasi ini dengan butiran seperti berikut:

Bilik Operasi Kementerian Luar (Putrajaya) dengan talian telefon 0388874570 atau 0388874770 atau emel opsroom@kln.gov.my dan Bilik Operasi Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta dengan talian +62215224947 dan +6281380813036 (Whatsapp) atau emel mwjakarta@kln.gov.my dan jkonsular@gmail.com. – AlHijrah Online

Leave a Reply