KUALA LUMPUR: Lapan premis perniagaan diarah tutup atas pelbagai kesalahan termasuklah keadaan premis yang kotor dan berdaki selain terdapat urungan lipas dan tikus di bahagian dapur dan tempat penyimpanan makanan.
Ia hasil pemeriksaan dan operasi dijalankan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas 26 premis di Jalan Walter Granier, Bukit Bintang.
DBKL turut mengeluarkan 13 kompaun kepada premis yang dikesan gagal mematuhi peraturan seperti menjalankan perniagaan tanpa lesen datuk bandar dan kegagalan memastikan pengendali makanan mendapatkan suntikan tifoid.
Selain itu, terdapat juga pengusaha premis menggunakan bekas polisterin sebagai pembungkus makanan yang menyalahi undang-undang kecil 25(1)(e), tindakan meletakkan bahan mentah serta makanan di atas lantai kurang daripada 20 sentimeter yang melanggar undang-undang kecil 33(3).
Ada juga pengendali makanan yang didapati tidak memakai apron dan penutup kepala seperti yang diwajibkan mengikut undang-undang kecil 7(1). Turut dikesan pengurusan kebersihan yang tidak mematuhi piawaian, termasuk aktiviti pemotongan, membasuh dan mencuci di luar kawasan premis serta kedai runcit yang menjual ayam hidup di dalam premis.
Tindakan penutupan premis dilaksanakan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 serta Seksyen 11 Akta Makanan 1983.– Alhijrah Online