JOHOR AKAN WUJUD JAWATANKUASA KEHARMONIAN PENGANUT PELBAGAI AGAMA

Sumber Gambar: BERNAMA

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan mewujudkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Pelbagai Agama dalam usaha untuk memupuk dan mengeratkan perpaduan dalam kalangan Bangsa Johor.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata menerusi Belanjawan Johor 2023 iaitu mengeratkan perpaduan bangsa Johor, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM50,000 untuk menyelaraskan penubuhan jawatankuasa itu.

“Menyedari kepentingan untuk mengekalkan perpaduan di Johor, maka kerajaan negeri telah mempertimbangkan untuk mewujudkan Jawatankuasa Keharmonian Antara Pelbagai Agama Negeri Johor dengan peruntukan sebanyak RM50,000.

“Jawatankuasa ini akan menjadi platform perbincangan dan melaksanakan program yang bertujuan untuk mengharmonikan perpaduan Bangsa Johor,” kata beliau ketika berucap membentangkan Belanjawan Johor 2023 pada mesyuarat keempat persidangan pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, di sini, hari ini.

Ini merupakan kali pertama Ahli Dewan Undangan Negeri Machap itu membentangkan belanjawan sebagai Menteri Besar.

Dalam memastikan kerohanian dan kebajikan masyarakat Tiong Hua, India dan lain-lain lagi, Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut memperuntukkan RM12 juta untuk tujuan pembangunan kerohanian serta kebajikan masyarakat Tiong Hua, India dan lain-lain.

Selain itu, kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Negeri Johor dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIJ) Johor memperuntukkan sejumlah RM9.4 juta bagi penyelenggaraan dan baik pulih bangunan serta peralatan dan perabot sekolah-sekolah agama di seluruh Negeri Johor, tambah beliau.

Bagi memastikan umat Islam di negeri ini dapat mengimarahkan masjid dan surau dalam keadaan yang selesa dan kondusif, Onn Hafiz berkata sejumlah RM2.7 juta diperuntukkan bagi tujuan baik pulih dan penyelenggaraan masjid serta surau selain peruntukan RM2.3 juta bagi pembangunan dan penyelenggaraan tanah perkuburan Islam di Negeri Johor.

Onn Hafiz berkata kerajaan negeri turut menyasarkan 1,200 huffaz yang dihasilkan daripada Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dan madrasah swasta dengan peruntukan RM1.3 juta bagi menampung kos pengajian 200 orang bakal huffaz di MARSAH.

Selain itu, menerusi Program Intervensi Tahfiz 2023, sebagai tambahan kepada dana daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, kerajaan Negeri melalui Perbadanan Islam Johor memperuntukkan RM75,000 yang menyasarkan 450 pelajar tahfiz untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun depan.–AlHijrah Online

Leave a Reply