JPS NEGERI SEMBILAN DIARAH SIASAT DAKWAAN SIREN TIDAK BERFUNGSI

PORT DICKSON: Dakwaan siren amaran banjir yang dipasang di kawasan berisiko di Negeri Sembilan tidak berfungsi akan disiasat kerajaan negeri.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Sembilan telah diarah untuk menyiasat dakwaan tersebut.

“Difahamkan malam tersebut hujan terlalu lebat. Penduduk di Ampangan juga dilapor tidak dengar disebabkan hujan yang terlalu kuat.

“Jadi kita perlu siasat mungkin perlu kuatkan lagi bunyi atau tambah lagi jumlah siren,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Borang 5A kepada lapan penduduk Kampung Chuah, di sini hari ini.

Media Ahad lalu melaporkan, penduduk merasa kecewa apabila sistem amaran siren banjir di Taman Pinggiran Sungai Kelamah, Gemas gagal berfungsi.

Situasi itu menyebabkan penduduk berpindah tanpa sempat menyelamatkan barangan peribadi, kerana air terlalu pantas memasuki kediaman mereka.

Menurut Aminuddin, ketika ini sebanyak 22 stesen siren amaran banjir di pasang di kawasan yang berisiko, dan jumlah itu akan ditambah pada tahun 2022 seperti yang dirancang kerajaan negeri.

Sehingga jam 8 pagi tadi, seramai 2,037 mangsa banjir daripada 552 keluarga direkodkan di Negeri Sembilan, membabitkan empat daerah iaitu Tampin, Kuala Pilah, Jempol dan Jelebu. – AlHijrah Online

Leave a Reply