KERAJAAN MINTA MASSIMO JELASKAN KENAIKAN HARGA ROTI

KUALA LUMPUR: Syarikat pengeluar roti Massimo, The Italian Baker Sdn Bhd akan dipanggil bagi menjelaskan sebab kenaikan harga produknya.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, pertemuan itu juga akan membincangkan alternatif yang mampu ditawarkan pihak Massimo untuk membantu rakyat yang ramai terkesan akibat COVID-19 dan banjir.

“Kita akan panggil pengeluar roti Massimo dan kementerian nak tahu apa alasan kenaikan itu serta apa alternatifnya untuk rakyat,” katanya.

Dalam masa yang sama, Rosol juga memaklumkan kementeriannya telah bertemu dengan pengeluar roti Gardenia selepas berlaku kenaikan harga jualan.

Katanya, Gardenia berjanji akan mengeluarkan produk baru yang akan dijual pada harga lama.

Rosol berkata Gardenia telah menjelaskan bahawa harga terpaksa dinaikkan berikutan kenaikan harga bahan mentah.

“Kementerian memahami alasan itu dan sebagai alternatif, Gardenia Bakeries berjanji untuk mengeluarkan satu produk baharu roti yang dijual pada harga lama.

“Langkah yang sama juga boleh dibuat oleh pengeluar Massimo supaya rakyat mempunyai pilihan,” katanya.

Rosol menjelaskan, harga roti putih dikawal selia oleh kementeriannya dan kerajaan perlu dimaklumkan mengenai sebarang kenaikan harga.

Pada 1 Januari 2022, Massimo menaikkan harga White Sandwich Bread 400g keluarannya daripada RM2.38 kepada RM2.80 manakala versi 600g dinaikkan daripada RM3.35 kepada RM4.–AlHijrah Online

Leave a Reply