JUTAAN RAKYAT RAYU UNTUK KEKAL JAWATAN, NAMUN SAYA TELAH HILANG KEPERCAYAAN MAJORITI – MUHYIDDIN

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin yang melepaskan jawatan sebagai perdana menteri hari ini memaklumkan ramai pihak mahu beliau untuk kekal memimpin negara.

Namun, perkara itu sukar untuk ditunaikan kerana beliau telah hilang majoriti ahli Dewan Rakyat.

“Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri. Inilah kehendak dalam Perlembagaan dan saya mesti patuh.

“Rayuan ikhlas dari jutaan rakyat Malaysia agar saya meneruskan tugas saya dan tidak meletakkan jawatan saya dengari. Namun, rayuan ini tidak dapat saya sambut kerana saya telah kehilangan kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Tindakan saya ini adalah selaras dengan sumpah jawatan saya untuk sentiasa menjunjung, melindungi dan mempertahankan Perlembagaan,” katanya dalam perutusan khas hari ini.

Beliau memaklumkan telah melakukan pelbagai ikhtiar hingga ke saat akhir untuk menyelamatkan kerajaan Perikatan Nasional setidaknya sehingga selesai tugas menguruskan pandemik, program vaksinasi dan pemulihan 3 ekonomi.

Pun begitu katanya ia tidak berhasil disebabkan ada pihak yang rakus untuk merebut kuasa daripada mengutamakan nyawa dan kehidupan rakyat.

“Bagi saya, apa yang berlaku ini adalah ketentuan Allah SWT yang merupakan satu episod dalam sejarah perjuangan politik saya.

“Enam tahun yang lalu, saya dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri semata-mata kerana saya mempertahankan prinsip untuk tidak berkompromi dalam kes penyelewengan 1MDB.

“Saya berjuang, saya berkorban, akhirnya Allah SWT mengangkat martabat perjuangan saya sehingga saya diberikan amanah untuk memimpin negara ini sebagai Perdana Menteri. Namun, telah ditakdirkan bahawa hari ini adalah hari terakhir saya sebagai Perdana Menteri dan saya redha dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Ahli Parlimen Pagoh itu juga menjelaskan beliau tidak akan sekali-kali bersekongkol dengan kumpulan kleptokrat, mengganggu kebebasan badan kehakiman dan membelakangi Perlembagaan Persekutuan semata-mata untuk kekal berkuasa. – AlHijrah Online

Leave a Reply