KAJIAN PENGGUNAAN VAKSIN COVID-19 BAGI KANAK-KANAK PERLU DISEGERAKAN

Sumber Gambar: KOSMO / ZULHANIFA SIDEK

MELAKA: Kajian penggunaan vaksin COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 hingga 17 tahun perlu disegerakan bagi melindungi golongan tersebut.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dauk Seri Rina Mohd Harun berkata, ia susulan kes positif yang melibatkan kanak-kanak agak membimbangkan selain ada yang maut akibat wabak COVID-19.

“Kita berharap kajian vaksin untuk kanak-kanak ini dapat disegerakan kerana kita lihat di negara luar sudah ada yang memberi vaksin untuk golongan berusia 12 tahun ke atas seperti di Singapura dan Amerika Syarikat.

“Usaha ini bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak sekali gus melindungi golongan berkenaan,” katanya selepas melawat Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

Setakat ini, seramai 147 pesakit kanak-kanak ditempatkan di PKRC MITC, daripada jumlah tersebut 99 daripadanya berusia 12 hingga 17 tahun dan 48 lagi berusia 12 tahun ke bawah.

Rina turut menyeru ibu bapa untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) selain membantu anak-anak mengamalkan amalan 3W (cuci tangan, pakai pelitup muka dan peringatan) serta tidak berada di tempat yang sesak dan mematuhi penjarakan fizikal.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba memaklumkan seramai 82,341 kanak-kanak dan bayi dijangkiti COVID-19 sehingga 30 Mei lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 19,851 kes membabitkan golongan berusia daripada 0 hingga 4 tahun; 8,237 kes (5 hingga 6 tahun); 26,851 kes (7 hingga 12 tahun) serta 27,402 kes (13 hingga 17 tahun) dan mereka adalah pesakit COVID-19 kategori 1, 2 dan 3.—AlHijrah Online / BERNAMA

Leave a Reply