BALIK PULAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun patah tangan kiri selepas baju hujan dipakai terbelit pada roda motosikal yang dinaiki, di Jalan Tok Wan Do, Kampung Permatang Pasir, di sini pagi tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9.44 pagi ketika mangsa membonceng motosikal jenis Yamaha LC135 yang ditunggang seorang lelaki sebelum baju hujan dipakainya tersangkut pada rim motosikal.
Dilaporkan mangsa terjatuh dan terpaksa menahan sakit hampir 20 minit sebelum tangannya berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan bomba.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Balik Pulau, Pegawai Bomba Kanan 1 (KUP) Fairus Omar berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 9.44 pagi dan tiba di lokasi kejadian kira-kira enam minit kemudian.
Katanya, mangsa telah dihantar ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut dan operasi tamat sepenuhnya pada jam 9.58 pagi.—AlHijrah Online