KARIKATUR RASULULLAH SAW: JOHOR HANTAR SURAT KEPADA KEDUTAAN PERANCIS

JOHOR BAHRU: Johor sudah menyiapkan surat bantahan untuk dihantar kepada pejabat Kedutaan Perancis di Kuala Lumpur sebagai tanda bantahan kerajaan negeri dan umat Islam di negeri selatan tanah air itu.

Surat bantahan itu susulan tindakan akhbar mingguan satira Perancis, Charlie Hebdo yang menerbitkan semula karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Tosrin Jarvanthi berkata kerajaan Johor menentang sekeras-kerasnya tindakan penghinaan terhadap Rasulullah SAW itu dan surat bantahan tersebut akan diserahkan pada Isnin depan.

“Saya harap umat Islam bersabar tidak ambil tindakan terburu-buru di luar batasan jangkauan kita sebagai umat Islam di negeri Johor.

“Batas-batas perlu dikawal jangan sampai ada yg menimbulkan emosi dan sangkaan buruk,” katanya ketika ditemui media hari ini.

Kerajaan Perancis baru-baru ini mempertahankan penerbitan semula karikatur yang menghina Nabi Muhammad SAW atas alasan hak kebebasan bersuara.

Tindakan itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri pada Selasa, 27 Oktober telah menulis surat kepada Duta Perancis di Malaysia meluahkan rasa kecewa terhadap isu karikatur Nabi Muhammad SAW oleh Charlie Hebdo. — AlHijrah Online

Leave a Reply