KEDAI RUNCIT BERGERAK DENGAN JUALAN HARGA BORONG BANTU PENDUDUK KETIKA COVID-19

TAIPING: Pandemik COVID-19 yang melanda ketika ini memberi kesan kepada banyak pihak terutama penduduk luar bandar yang bergantung kepada pendapatan harian.

Prihatin dengan masalah tersebut, kerajaan negeri Perak dengan inisiatif Parlimen Bukit Gantang mengadakan program jualan bantu rakyat.

Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berkata, inisiatif tersebut yang menggunakan kaedah kedai runcit bergerak menjual barangan keperluan asas pada harga borong dengan potongan 30 peratus.

“Dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan ini, keadaan ekonomi tak berapa memberangsangkan, perniagaan menguncup, jadi sebabkan orang tak berani nak keluar dan peraturan tidak membenarkan kita keluar, jadi mereka akan berhadapan dengan masalah.

“Jadi saya memberikan inisiatif dengan memberikan 30 peratus diskaun supaya semua orang yang ada sedikit kemampuan boleh beli dan kita juga sediakan bakul makanan secara percuma kepada mereka yang betul-betul tak mampu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada TV Alhijrah selepas program jualan bantu rakyat di Kamunting, hari ini.

Pada program tersebut, beliau turut membekalkan ikan pelaling percuma sebanyak satu tan yang memanfaatkan 500 isi rumah.

Dalam pada itu ujar Syed Abu Hussin Hafiz, program jualan bantu rakyat tersebut telah bermula sejak 10 tahun lalu namun lebih aktif apabila COVID-19 melanda bagi membantu golongan yang memerlukan.

Katanya, kedai runcit bergerak tersebut akan ke enam lokasi berlainan setiap bulan bagi membolehkan lebih ramai penduduk membeli keperluan pada harga lebih rendah.– AlHijrah Online / Hamimah Hamid

Leave a Reply