RASULULLAH SAW TELADAN UMMAH SEPANJANG ZAMAN

Ketibaan Maulidur Rasul SAW saban tahun menjadi detik bermakna kepada seluruh umat Islam untuk memperingati nikmat terbesar pengutusan Nabi Muhammad SAW iaitu penyebaran risalah Islam.

Justeru bagi menzahirkan kesyukuran atas pengutusan Nabi Muhammad SAW, umat Islam bertanggungjawab mempertahankan syiar agama, memelihara akidah dan iman, mempamerkan serta mengamalkan akhlak terpuji seperti yang ditunjukkan oleh nabi sepanjang hayat baginda dalam kehidupan seharian.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

KETABAHAN

Terlalu banyak sifat Nabi Muhammad SAW yang tercatat di dalam sirah dan disebutkan di dalam al-Quran yang merupakan teladan bagi kita semua.

Di antara sifat-sifat tersebut ialah ketabahan baginda di dalam menempuh kehidupan sebagai anak yatim, ketika menghadapi kebencian kaum musyrikin Mekah, kesedihan yang menimpa hidup kerana kehilangan bapa saudara, isteri dan anak tercinta, dan paling utama kesabaran baginda menghadapi pesona kekuasaan dengan tawaran pangkat dan darjat agar meninggalkan misi dakwah.

Dalam hal ini, Ibn Kathir menyatakan bahawa tawaran tersebut diajukan oleh ‘Utbah bin Rabi’ah yang bertemu baginda di rumahnya. Dalam riwayat yang lain menyebut bahawa tawaran itu diajukan al-Walid bin al-Mughirah dan al-‘As bin Wa’il. Walaubagaimanapun baginda dengan tegas menolaknya kerana misi memperkenalkan masyarakat kepada Allah SWT adalah lebih berharga berbanding tawaran yang diberikan.

DERMAWAN

Baginda nabi Muhammad SAW juga bersifat dermawan, gemar menjamu tetamu, berinfak, menderma kepada orang yang lapar, membantu jiran terdekat serta menjenguk orang sakit. Nabi Muhammad SAW sentiasa berbuat baik kepada sesama manusia sama ada orang Islam ataupun mereka yang bukan beragama Islam.

Berkaitan hal ini terdapat banyak kisah dalam kehidupan dan pesanan Nabi Muhammad SAW kepada umat Islam.

Sabda Nabi Muhammad SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud “Dan pergaulilah manusia dengan akhlak yang baik” (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmidzi, Darimi).

Di dalam suatu kisah diceritakan bahawa baginda nabi pergi menziarahi seorang Yahudi yang ditimpa kesakitan. Dalam sebuah hadis daripada Anas RA, beliau berkata: Ada seorang budak Yahudi yang bekerja membantu Nabi SAW telah menderita sakit. Maka Nabi SAW menziarahinya dan baginda duduk di sisi kepalanya lalu menyeru: “Masuklah Islam”.

Budak itu memandang kepada bapanya yang berada berdekatannya, lalu bapanya berkata,: “Taatilah Abu al-Qasim SAW”. Lantas budak itu memeluk Islam. Kemudian Nabi SAW keluar sambil bersabda: “Segala puji bagi Allah yang telah menyelamatkan budak itu dari neraka.” Riwayat al-Bukhari (1356).

BERANI

Baginda nabi Muhammad SAW bersifat berani, teguh hati, dan tidak melarikan dari medan peperangan. Baginda memimpin beberapa siri peperangan yang dimenangi oleh tentera muslimin. Berdasarkan hadis riwayat Sahal bin Sa`ad RA bahawa dia ditanya tentang luka Rasulullah SAW dalam perang Uhud.

Jawab Sahal, “Muka Rasulullah SAW luka, taring beliau patah, dan topi baja yang dipakainya pecah. Lalu Fatimah binti Rasulullah yang membersihkan darahnya, Ali bin Thalib yang menyiramkan air dari perisai.

Ketika dilihat Fatimah darah bertambah banyak keluar, diambilnya potongan pelepah kurma, lalu dibakarnya sampai jadi abu. Kemudian abu itu diletakkannya di atas luka beliau sehingga darahnya berhenti keluar.” (Sahih Muslim No.1759)

ZUHUD

Baginda juga bersifat zuhud dan sederhana dan mengambil dunia sekadar perlu. Baginda tinggal di rumah yang sangat sederhana dan berpakaian sederhana. Baginda terkenal dengan sifat tawaduk, menghormati orang tua, simpati kepada orang miskin, menolong orang yang lemah, ramah dengan orang, melakukan sendiri kerja rumah seperti menjahit pakaiannya sendiri dan menyantuni pelbagai golongan termasuk kanak-kanak.

Dalam sebuah hadis daripada Jabin Samurah RA: “Aku solat Zuhur bersama Rasulullah SAW, kemudian baginda keluar ke tempat keluarganya dan aku pun ikut keluar. Selanjutnya, beliau disambut oleh kanak-kanak, kemudian baginda mengusap pipi mereka seorang demi seorang hingga sampailah pada giliranku.

Baginda mengusap pipiku dan ternyata kurasakan tangan baginda begitu sejuk dan harum baunya seakan-akan tangan baginda baru dikeluarkan dari kantung yang berisi minyak wangi. (Riwayat Muslim).

BIJAKSANA

Baginda bersifat bijaksana, halus pekerti dan lembut pergaulan, murah hati dan memaafkan, menenangkan dengan akhlak dan toleransi, tersenyum kepada orang yang marah, serta membalas keburukan dengan kemaafan dan damai.

Ketika baginda ditawarkan untuk membalas perbuatan penduduk Taif yang menolak dakwah dengan kekasaran, Nabi Muhammad SAW sebaliknya menjawab; “Tidak, bahkan aku berharap agar Allah mengeluarkan dari keturunan mereka orang-orang yang menyembah Allah dan tidak menyekutukan-Nya dengan apapun juga.” (Riwayat Muslim).

BELAS IHSAN

Baginda bersifat belas ihsan, mengasihi sesama insan dan bergurau senda dengan ahli keluarga dan para sahabat. Aisyah RA berkata: “Jika Rasulullah SAW berada di rumah, dialah orang yang paling murah senyum dan ketawa”.

Ali bin Abi Talib menceritakan bahawa Rasulullah SAW selalu kelihatan ceria, tenang dan santai, banyak tersenyum di hadapan para sahabat, semangat dan kagum dengan pembicaraan mereka, malah kadang kala tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.

SELALU BERZIKIR DAN BERDOA

Baginda juga selalu berzikir dan suka berdoa. Rasulullah SAW menangis ketika sembahyang tahajud, maka Aisyah bertanya: “Mengapakah engkau menangis? Sebenarnya Allah SWT sudah mengampunkan dosa engkau yang terdahulu mahupun yang terkemudian. Maka Nabi Muhammad SAW menyatakan: Adakah tidak patut aku dalam kalangan hamba yang banyak bersyukur?” (HR Ibnu Hibban)

Penghayatan sifat-sifat nabi perlu dibudayakan di setiap peringkat sama ada dalam keluarga mahupun melalui institusi pendidikan bagi melahirkan sebuah ummah yang rabbani. Ia juga harus diserlahkan dalam segenap aspek kehidupan misalnya melalui program dakwah yang meraikan masyarakat yang terdiri daripada pelbagai bangsa, budaya, dan agama.

Sempena ketibaan Maulidur Rasul SAW ini, marilah kita mengisinya dengan amalan selawat, menghidupkan sunnah dan menghayati sifat-sifat baginda agar dapat menyuburkan dan meningkatkan kecintaan kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Sirah Nabi Muhammad SAW harus dijadikan sumber rujukan dan panduan terpenting di dalam pelbagai aspek kehidupan serta menjadi inspirasi dan pemangkin semangat bagi umat Islam terutama ketika negara sedang berperang melawan wabak COVID-19. — AlHijrah Online

Penulis adalah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.

Leave a Reply