KBS usah khianati bahasa Melayu

KUALA LUMPUR – Tindakan menukar nama Hari Sukan Negara kepada Malaysia Sports Challenge (MySC) merupakan satu pengkhianatan oleh Kementerian Belia dan Sukan, kata Ahmad Farhan Rosli, Penolong Setiausaha Agung 1 Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).
Bukan sekali ini sahaja, sebelum ini KBS beberapa kali meminggirkan bahasa Melayu dalam penjenamaan beberapa inisiatif yang dilaksanakan iaitu pada penjenamaan Youth Power Club, Malaysia Future Leaders, Impact dan terkini Malaysia Sports Challenge, katanya dalam kolum “Pandangan Anda” di Malaysian Insight, hari ini.
“Tindakan KBS jelas dilihat tidak menghormati penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi sebagaimana termaktub dalam perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan,” katanya.
Kata beliau lagi, sebagai Kementerian yang bertanggungjawab dalam soal pembangunan anak muda, KBS sepatutnya mengambil peranan menanamkan jati diri nasional dalam jiwa generasi muda termasuklah dalam soal penggunaan Bahasa Melayu.
“Demikianlah tindakan tidak bermaruah KBS. Malaysia Baharu yang kita idamkan itu tidak terpisah daripada sejarah sebelum 9 Mei,” selar beliau.
Ini kerana penggunaan nama Malaysia Baharu itu sepatutnya menjadi lesen untuk menafikan jasa-jasa dan pengorbanan pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu sehinggalah penyatuan Malaysia, seterusnya sehinggalah Reformasi yang membentuk kemenangan rakyat di era Malaysia Baharu.
“Malaysia Baharu juga bukan hanya berkisar soal menukar nama projek, menggantikan yang kusam kepada yang elok tetapi wajar dilihat suatu proses penambahbaikan sesuatu pendekatan,” tegas beliau lagi.
Justeru itu Ahmad Farhan menggesa KBS meneliti semula keputusan menukar nama kepada bahasa Inggeris itu dan mengekalkan nama asal tersebut yang sejajar dengan aspirasi kerajaan menjadikan bahasa Melayu sebagai identiti negara, sejajar dengan semangat sukan sebagai wahana perpaduan.