KDN tidak halang aktiviti Dr Zakir

Dr. Zakir Naik

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak berniat mahu mengawal aktiviti pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pendakwah prolifik itu tidak melakukan kesalahan sekiranya hanya menghadiri program agama dan selagi tidak menyampaikan ceramah.

“Beliau (Dr. Zakir) akan berada di situ untuk menyertai solat. Beliau tidak akan menyampaikan ceramah kepada jemaah. Ketua Polis Melaka memberitahu, atas alasan itu Dr. Zakir dibenarkan menyertai program berkenaan.  Tetapi seperti biasa, tiada ucapan. Kita bukan nak kawal dia 100 peratus untuk tidak melakukan apa-apa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementerian, pagi tadi.

Semalam, Ketua Polis Melaka, Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah menegaskan tiada halangan terhadap program Malam Islam Bersatu yang bakal diadakan di Masjid Cina Melaka di Krubong pada 7 September ini yang bakal dihadiri Dr. Zakir.

Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Keroh, Kerk Chee Yee mempertikaikan penganjuran program berkenaan kerana mengundang pendakwah tersohor dari India itu.

Leave a Reply