KEDUTAAN ARAB SAUDI RAI PETUGAS TV ALHIJRAH DENGAN SUMBANGAN 150 PEK IFTAR

KUALA LUMPUR: Kedutaan Arab Saudi di Malaysia terus meraikan petugas barisan hadapan dengan menyumbang 150 pek berbuka puasa (iftar) kepada kakitangan AlHijrah Media Corporation (TV AlHijrah) hari ini.

Sumbangan pek makanan iftar melalui program Khadim Al-Haramain Al-Sharifain Raja Salman Bin Abdul Aziz Al-Saud itu disampaikan atase agama kedutaan itu, Sheikh Abdul Rahman Al-Robaian kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris di Pusat Penyiaran Digital TV AlHijrah di sini.

Sheikh Abdul Rahman berkata pek makanan itu adalah sumbangan iftar tahunan kepada 18 negara dalam usaha Arab Saudi meraikan ibadat puasa yang dijalani umat Islam, termasuk di Malaysia.

“Sebelum ini sumbangan diberi kepada pihak universiti dan masjid, juga disumbangkan kepada pelarian Rohingya dan etnik orang asli.

“Untuk kali ini sumbangan fokus kepada petugas barisan hadapan Covid-19 seperti petugas kesihatan dan keselamatan yang banyak berkorban.

“Kita juga meraikan petugas media yang menyampaikan maklumat yang penting ketika pandemik ini,” katanya kepada AlHijrah Online di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Pertubuhan Ilmuan Malaysia (Ilmu), Datuk Ahmad Tajuddin Idris.

Sheikh Abdul Rahman turut menyampaikan pek sumbangan iftar itu kepada petugas TV AlHijrah, termasuk anggota polis bantuan bertugas.

Dalam reaksi segeranya, Namanzee merakamkan terima kasih kepada Raja Salman kerana keprihatinan Arab Saudi bersama Malaysia dalam simbolik solidaritinya kepada petugas media.

“Ini satu ihsan mereka dan kebersamaan dengan Malaysia melalui pihak media. Hubungan kita dengan Arab Saudi sangat baik.

“Setiap tahun kita diberi kuota haji istimewa. Tahun ini kita tunggu Arab Saudi dan Malaysia (mengenai) bagaimana urusan haji. Kita hormati dan sokong apa jua keputusan Arab Saudi berhubung urusan haji,” katanya.

Namanzee merujuk kepada penutupan sementara Makkah dan Madinah akibat penularan wabak COVID-19. – AlHijrah Online/ Abdul Hakim Hasan

Leave a Reply