KELEMAHAN PENTADBIRAN PUNCA LETUPAN BEIRUT

Kuala Lumpur: Letupan kuat yang memusnahkan sebahagian Beirut menjadi titik tolak kepada kerajaan Lubnan untuk melakukan pembaharuan dalam pentadbiran negara dengan lebih serius dan cepat.

Profesor Jabatan Sejarah dan Tamadun Islam, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor berkata, tadbir urus negara yang tidak cekap dilihat menjadi punca utama yang menyebabkan tragedi yang meragut ratusan nyawa.

“Apabila berlaku letupan, ia membuka ruang kepada masyarakat Lubnan untuk meminta supaya kerajaan melakukan perubahan serius daripada aspek ketelusan kerajaan.

“Urusan, sebagai contoh berkait bahan berbahaya di pelabuhan Lubnan tidak diurus dengan baik,” katanya kepada AlHijrah Online dalam satu temu bual eksklusif di ibu negara.

Ujarnya pembaharuan yang dilakukan oleh Perdana Menteri Hassan Diab sebelum ini dilihat agak tempang kerana masih gagal mengatasi amalan rasuah.

Memburukkan lagi keadaaan, tragedi letupan tersebut menyebabkan ekonomi negara itu bertambah tenat dan sangat memerlukan bantuan daripada negara luar.

Jelasnya beberapa negara seperti Arab Saudi, Perancis dan Amerika Syarikat telah menawarkan bantuan kewangan untuk membangunkan semula Beirut susulan letupan.

Namun negara berkenaan menuntut kerajaan diketuai Hassan Diab supaya lebih komited melakukan pembaharuan dalam kerajaan. — AlHijrah Online / Abdul Hakim Hassan

Leave a Reply