KENDERAAN SELUDUP KETUM TERBALIK

PADANG BESAR: Sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaiki dua individu yang disyaki menyeludup daun ketum terbalik semasa dikejar polis di Kampung Kolam, di sini semalam.

Menurut Ketua Polis Daerah Padang Besar, Superintendan Saifudin Aslin Abbas, pihaknya membuat rondaan kira-kira jam 8 pagi sebelum terserempak dengan kenderaan jenis Mitsubishi Pajero berwarna biru gelap dalam keadaan mencurigakan.

Anggota polis kemudian bertindak mengejar kenderaan tersebut sebelum ditemui terbalik dipercayai terbabas.

Bagaimanapun kenderaan jenis pacuan empat roda itu ditemui tanpa pemandu dan penumpang selepas berjaya melarikan diri ke dalam hutan.

“Hasil pemeriksaan menemukan 15 guni berwarna putih yang di dalamnya mengandungi daun-daun disyaki ketum, dianggarkan seberat 500 kilogram dengan anggaran nilai sebanyak RM15,000.

“Daun ketum ini dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui jalan Felda Mata Ayer,” katanya di sini hari ini.

Saifudin memaklumkan kesemua barang kes tersebut dirampas untuk siasatan di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum empat tahun.—AlHijrah Online

Leave a Reply