KPDNHEP CADANG KEBENARAN MAKAN DI RESTORAN

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid

HULU TERENGGANU: Kerajaan diminta untuk mempertimbangkan rintihan peniaga ‘food truck’ dan kedai makan agar pelanggan dibenarkan untuk kembali makan di premis.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid, pengusaha dan peniaga terbabit sanggup mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat jika kebenaran diberikan.

Beliau berkata pihaknya akan membuat pertemuan dengan Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menyuarakan rintihan pemain industri dan beliau yakin kerajaan akan mendengar keluhan peniaga.

“Mereka memberi jaminan bahawa jika dibenarkan akan mengikut SOP walaupun seketat mana sekali pun.

“Jadi ini satu benda yang saya rasa perlu dikaji semula dan kita akan jumpa dengan Datuk Seri Ismail Sabri untuk membawa keluhan hati dan juga perasaan peniaga-peniaga kedai makan ini,” katanya kepada media ketika lawatan ke kedai runcit bergerak “Prihatin Mart” di Dataran Kampung Langgar, Hulu Terengganu.

Tambahnya jika dibenarkan makan di restoran, ia akan membuka peluang pekerjaan kepada pencuci pinggan, tukang bersih dan lain-lain di premis tersebut.

Susulan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara kecuali Sarawak, kerajaan membenarkan kedai makan untuk beroperasi sehingga jam 10 malam namun tertakluk kepada perkhidmatan pembungkusan, penghantaran dan pandu lalu sahaja. – AlHijrah Online

Leave a Reply