KES COVID-19 DI KEDAH MENINGKAT

Gambar fail

ALOR SETAR: Sebanyak 491 kes baharu COVID-19 direkodkan di Kedah bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-28 bermula 10 hingga 16 Julai lalu, sekali gus merekodkan peningkatan sebanyak 34.5 peratus.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman berkata majoriti kes positif melibatkan saringan bergejala iaitu 53.6 peratus diikuti saringan kontak rapat (15.7 peratus) dan saringan kendiri (15.3 peratus).

“Kes baharu 21 Julai 2022 (semalam) adalah sebanyak 109 kes dengan majoriti mereka kategori umur 19 hingga 59 tahun iaitu sebanyak 69 kes atau 63.3 peratus.

“Kes COVID-19 dalam kalangan warga emas mencatatkan sebanyak 18 kes atau 16.5 peratus. Kes-kes yang dilaporkan hanya menunjukkan gejala ringan dan dikuarantin di rumah masing-masing.” katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Tambah Dr Mohd Hayati, memandangkan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) di Kedah ditutup pada 15 Mei lalu, kes yang memerlukan rawatan dimasukkan ke wad COVID-19 di hospital.

Manakala  kes bergejala ringan dipantau oleh Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) yang beroperasi di klinik kesihatan dan secara maya.

Sementara itu, mengulas mengenai penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) pula, beliau berkata Kedah mencatat penurunan sebanyak 43.6 peratus berbanding minggu sebelumnya.

“Sebanyak 105 kes baharu HFMD dilaporkan di Kedah iaitu penurunan 81 kes atau 43.6 peratus berbanding dengan minggu sebelumnya. Tiada wabak baharu dilaporkan sepanjang minggu berkenaan,” katanya.– AlHijrah Online

Leave a Reply