KES DEMAM DENGGI DI KEDAH MENINGKAT

Gambar hiasan

ALOR SETAR: Kedah mencatatkan peningkatan kes denggi sehingga 177.2 peratus atau 101 kes bermula 1 Januari hingga 9 Mac tahun ini.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Othman Warijo berkata, bilangan kes yang dicatatkan kini adalah sebanyak 158 kes berbanding hanya 57 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Beliau berkata, bilangan wabak denggi turut mencatatkan peningkatan kepada 16 wabak berbanding hanya dua wabak sahaja pada tempoh yang sama pada 2021.

Bagaimanapun katanya, semua wabak denggi berkenaan berjaya dikawal dalam tempoh dua minggu.

Othman berkata, antara faktor penyumbang utama kepada peningkatan kes denggi di Kedah adalah disebabkan kekerapan hujan serta peningkatan pergerakan penduduk berbanding ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) pada tahun 2020 dan 2021.

Katanya aktiviti pencegahan dan kawalan sentiasa dijalankan di semua lokaliti kes di negeri Kedah bagi memutuskan rantaian jangkitan.l seperti pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan untuk kawalan kes tunggal dan wabak denggi.

Selain itu, jelas Othman, aktiviti pencegahan turut dipertingkatkan di lokaliti yang dikenal pasti berisiko di seluruh negeri.

Beliau berkata sehingga kelmarin sebanyak 65,890 premis sudah diperiksa dan 941 kompaun telah dikeluarkan di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 dengan nilai RM446,550 kepada pemilik premis yang didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Justeru Othman menyeru masyarakat untuk sama-sama memikul tanggungjawab melaksanakan aktiviti-aktiviti seperti membersihkan persekitaran serta mencari dan memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman dan premis masing-masing. –AlHijrah Online

Leave a Reply