KES PERTAMA WARGANEGARA MALAYSIA POSITIF NOVEL KORONAVIRUS 2019

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun dari Selangor, antara dua kes baharu yang dilaporkan positif novel koronavirus 2019 (2019-nCoV), kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata satu lagi kes membabitkan seorang lelaki warganegara China berumur 63 tahun, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 18 Jan lepas.
“Bagi kes warganegara Malaysia, beliau mempunyai sejarah perjalanan ke negara jiran (Singapura) dari 16 hingga 23 Jan 2020, bagi menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari negara China.
“Beliau pulang ke Malaysia pada 23 Jan 2020, dan pada 29 Jan 2020 beliau mendapatkan rawatan di pusat rawatan swasta di Selangor kerana demam dan batuk. Selanjutnya beliau dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Feb 2020 dan dimasukkan ke wad isolasi. Beliau disahkan positif 2019-nCoV semalam,” katanya pada sidang media perkembangan terkini kluster 2019-nCoV, di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia itu kini dalam keadaan stabil dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengadakan kerjasama erat dengan pihak negara jiran untuk mengenal pasti aktiviti pengesanan sentuh (contact tracing). — BERNAMA