KESEMUA 63 JEMAAH UMRAH MALAYSIA TERKANDAS DI ARAB SAUDI TELAH DIBAWA PULANG

Sumber gambar: Wisma Putra

PUTRAJAYA: Kesemua 63 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu telah selamat dibawa pulang, dengan kumpulan terakhir 23 orang jemaah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Sabtu (12 Nov).

Wisma Putra dalam kenyataan hari ini memaklumkan kumpulan seramai 23 orang itu tiba pada jam 1.20 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH8023) dari Jeddah, Arab Saudi, selepas kumpulan pertama seramai 36 orang tiba pada 4 Nov, diikuti dengan kumpulan kedua seramai empat orang pada 7 Nov.

“Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. 

“Kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu usaha ini,” tambah kenyataan itu. 

Warganegara Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undang-undang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.

Dalam kenyataan sebelum ini, Wisma Putra dan Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memaklumkan seramai 63 jemaah umrah negara ini yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak terkandas di Arab Saudi sejak Jun lepas.

Menurut laporan media kesemua jemaah itu telah dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lepas.

Namun mereka hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah selepas ketua kumpulan tarekat berkenaan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lepas kerana dikatakan melanggar undang-undang tempatan. –AlHijrah Online

Leave a Reply