KONFLIK DI YAMAN CATAT LEBIH 10,000 KANAK-KANAK MAUT, CEDERA

Sumber Gambar: AFP

ADEN (Yaman): Seramai 10,200 kanak-kanak Yaman terbunuh atau cedera sejak konflik memuncak di negara tersebut, sejak tujuh tahun lepas.

Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menyatakan terdapat kemungkinan jumlah sebenar jauh lebih tinggi.

“Susulan konflik memuncak pada 2021, keganasan terus meningkat tahun ini dan seperti biasa kanak-kanak adalah yang paling menderita,” lapor Xinhua memetik kenyataan Wakil UNICEF ke Yaman, Philippe Duamelle.

Menurutnya, dalam tempoh dua bulan pertama bagi tahun 2022 seramai 47 kanak-kanak terbunuh atau cedera sehingga menyebabkan mereka mengalami kecacatan.

“Keganasan, kesengsaraan dan kesedihan sudah menjadi perkara biasa di Yaman. Sudah tiba masanya penyelesaian politik berkekalan perlu segera dilaksanakan,” katanya.

Yaman dicengkam perang saudara sejak Houthi menguasai sebahagian besar negara dan merampas semua wilayah utara, termasuk bandaraya Sanaa pada 2014.—AlHijrah Online

Leave a Reply