Connect with us

ALHIJRAH ONLINE

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: MALAYSIA KEMUKAKAN HUJAHAN LISAN DI ICJ PADA 22 FEB

DALAM NEGARA

KONFLIK PALESTIN-ISRAEL: MALAYSIA KEMUKAKAN HUJAHAN LISAN DI ICJ PADA 22 FEB

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur, yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, dari 19 hingga 26 Februari 2024.

Sumber Gambar: BERNAMA

KUALA LUMPUR: Menteri Luar Negeri Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pendengaran Awam bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berkaitan Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Pendudukan Palestin, termasuk Baitul Maqdis Timur, yang akan diadakan di Peace Palace, The Hague, dari 19 hingga 26 Februari 2024.

Beliau yang diiringi oleh pegawai-pegawai daripada Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Peguam Negara, akan turut menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia pada 22 Februari 2024, jam 5.10 petang waktu tempatan (23 Feb 2024, jam 12.10 malam waktu Malaysia).

Katanya, permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat ini terhasil daripada Resolusi 77/247 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah diterima pakai pada 30 Disember 2022 yang mana Malaysia telah menyokong dan menaja bersama resolusi berkenaan.

“Pendapat Nasihat ini merupakan prosedur yang berasingan daripada permohonan Afrika Selatan bagi memulakan prosiding terhadap Israel yang telah difailkan di ICJ pada 29 Disember 2023.

“Permohonan Afrika Selatan telah difailkan atas dakwaan pencabulan Israel di bawah Konvensyen Genosid terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza, khususnya yang berlaku sejak 7 Oktober 2023. Prosedur mendapatkan Pendapat Nasihat ini pula adalah ekoran daripada permohonan yang dibuat oleh Perhimpunan Agung PBB,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujarnya, Pendapat Nasihat merupakan satu proses penting bagi memperolehi nasihat perundangan daripada ICJ, iaitu badan kehakiman PBB, selaras dengan Artikel 96 Piagam PBB dan Artikel 65 Statut ICJ.

Pendapat Nasihat memberi impak perundangan dan tanggungjawab moral yang besar serta menyumbang kepada pemahaman dan pembangunan undang-undang antarabangsa, yang boleh menjadi pemangkin keutuhan hubungan di antara negara, katanya lagi.

“Sebagai sebuah negara yang lantang memperjuangkan isu Palestin, kehadiran Malaysia di ICJ adalah penting untuk berganding bahu bersama-sama negara sepemikiran dalam mempertahankan isu-isu kemanusiaan sejagat.

“Ia juga selari dengan kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sentiasa bersuara lantang dalam mempertahankan hak rakyat Palestin di pelbagai platform antarabangsa.

“Perdana Menteri sentiasa menekankan tanggungjawab moral komuniti antarabangsa untuk menangani kekejaman yang dilakukan oleh Israel terhadap rakyat Palestin yang tidak berdosa, terutamanya golongan wanita dan kanak-kanak,” tambah Mohamad selain menegaskan Malaysia kekal komited, berdasarkan kemampuan dan keupayaannya, untuk mencari jalan penyelesaian yang berkekalan kepada konflik Palestin-Israel di semua platform antarabangsa.

Mohamad mengulangi pendirian teguh Malaysia bahawa rakyat Palestin berhak mendapat Negara yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis Timur sebagai ibu negara Palestin.

Malaysia akan sentiasa meneruskan usaha untuk memastikan Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB, katanya.—AlHijrah Online


Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe to get the latest posts sent to your email.

Click to comment

Leave a Reply

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.

More in DALAM NEGARA

To Top

Discover more from ALHIJRAH ONLINE

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading