KORONAVIRUS: VIRUS VS VIRAL


Bohonglah jika saya katakan tidak bimbang dengan penularan wabak koronavirus. Sebagai bapa yang mempunyai anak yang baru saja pulih dari jangkitan Influenza, kira-kira sebulan lalu, keluarga kami terkesan dengan penularan wabak koronavirus di negara kita. Kebimbangan ini bersebab.
Pertama, saya tahu bahawa virus berasal dari Wuhan, China ini tidak mempunyai penawar berbanding influenza yang boleh dirawat dengan menggunakan anti-viral dan tiada vaksin untuk pencegahan jangka panjang.
Kedua, melalui pembacaan, saya dapat membuat kesimpulan mudah bahawa saintis masih belum memahami virus baharu ini yang mana gejalanya bermula dari sekadar selsema dan batuk hinggalah boleh menyebabkan penyakit kronik seperti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) yang membunuh.
Ketiga, kebimbangan saya digandakan dengan lambakan berita di media massa dan lebih buruk kebanjiran maklumat di media sosial yang selalunya lebih cepat, meresahkan dan kadang-kadang berbaur xenophobia sifatnya.
Xenophobia yang saya maksudkan adalah ketakutan kepada perkara yang asing pada kita dan dalam konteks isu koronavirus ini adalah apa-apa yang dikaitkan dengan China dan kaum cina.
Ketakutan ini diburukkan lagi apabila ada pihak cuba menangguk di air keruh dan mengaitkan krisis ini dengan politik picisan dan lebih memburukkan keadaan adalah penularan berita palsu yang membarah di media sosial.

Malaysia sebenarnya berdepan dengan dua krisis sepertimana dikatakan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Isnin lalu.
“Kita ada dua masalah iaitu virus (koronavirus) dan viral (berita palsu),” kata Dr Dzulkefly yang kini mengemudi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), di mana kakitangannya membarisi frontline saringan di pintu masuk negara, berusaha memastikan rakyat negara ini selamat dari ancaman koronavirus ini.
Setakat ini, ada tujuh kes koronavirus dicatatkan di Malaysia membabitkan warganegara China.
Sehingga hari ini, lebih 15 berita palsu disebarkan individu tidak bertanggungjawab mengenai wabak koronavirus melalui media sosial, termasuk aplikasi Whatsapp yang menambah keresahan dan panik masyarakat.
Antaranya adalah berita mengenai seorang individu meninggal dunia selepas kejang dan pengsan dikaitkan dengan koronavirus di Shah Alam yang disebarkan melalui Whatsapp, kes pertama positif koronavirus ditemui di Hospital Seberang Jaya membabitkan dua pelancong China dan kes bapa kepada murid SK Paka sakit tenat selepas tiga hari pulang dari umrah kerana koronavirus yang juga disebarkan melalui Whatsapp.
Kesemua berita palsu yang menjadi tular atau viral ini dinafikan melalui laman sosial FB oleh pihak berkenaan.

Berita palsu lain yang turut disebarkan melalui Facebook antaranya beberapa keping gambar yang didakwa ratusan warga China tiba di Langkawi kerana melarikan diri daripada wabak koronavirus yang kemudiannya dinafikan Kerajaan Negeri Kedah.
Ada juga kes berita palsu dibawa kepada perhatian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut antaranya berita mengatakan Medical Centre di Melaka ditutup kerana berlaku kematian akibat koronavirus yang ditularkan melalui Twitter.
Sehingga jam 8 malam semalam, SKMM dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan seorang suspek yang disyaki menyebarkan kandungan berita palsu mengenai penularan wabak 2019 novel koronavirus.
Suspek berusia 34 tahun yang ditahan di kediamannya di Bangi, Selangor, disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya sekali.
Tindakan SKMM ini sekurang-kurangnya meredakan keresahan rakyat marhaen ekoran penularan berita palsu yang saya kira sama bahaya dengan koronavirus yang membunuh.
Apatah lagi ketika Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kelmarin, mengakui kesilapannya dalam menilai penularan wabak itu di peringkat global.
Menurut laporan NDTV, agensi itu dalam laporan diterbitkan Ahad lalu memaklumkan risiko jangkitan di China, peringkat serantau dan global adalah tinggi. Pada Khamis lalu, WHO meletakkan risiko global pada tahap sederhana.
Laporan media mengatakan kes koronavirus kini melebihi 5,974 kes iaitu lebih tinggi berbanding wabak SARS pada 2002 hingga 2003 yang mengorbankan 800 nyawa di seluruh dunia.
Statistik WHO menunjukkan SARS menjangkiti 5,327 orang di China dalam tempoh sembilan bulan dan mengorbankan 394 individu.
Semalam, Suruhanjaya Kesihatan China mengesahkan angka kematian meningkat kepada 132 orang dengan 26 kematian baharu dicatatkan di wilayah Hubei dan 1,459 kes baharu disahkan.
Pada masa sama, suruhanjaya yang sama memaklumkan lebih 9,000 kes disyaki jangkitan koronavirus juga sedang dipantau.

Walaupun angka ini amat menakutkan, sebagai seorang bapa dan seorang wartawan, saya meyakini kerajaan, khususnya KKM, telah mengambil langkah-langkah perlu mengikut standard operasi (SOP) dan nasihat WHO.
Ia juga bersandarkan pengalaman yang ada pada Malaysia ketika berdepan dengan virus Nipah pada 1999, SARS (2002-2003), Influenza H1N1 (2009) dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-CoV) pada 2012.
Ketika menangani virus Nipah yang menular di Perak, Negeri Sembilan dan Selangor, yang juga wabak pertama yang meninggalkan kesan hitam dalam sejarah kesihatan awam di Malaysia, banyak yang telah kita belajar daripadanya. Wabak itu menyebabkan 105 kematian dan 265 ensefalitis akut.
Di awal penularannya, kita ingat nyamuk menjadi punca jangkitan, lalu kaedah semburan dilakukan dan vaksin JE diberikan kepada babi. Namun kes wabak itu terus menunjukkan peningkatan.
Susulan itu, kajian baharu menunjukkan ia berpunca dan merebak daripada babi, lalu kerajaan kita bertindak “menghapuskan” 1.1 juta babi iaitu bersamaan 45 peratus populasi babi di Malaysia bagi menghapuskan risiko jangkitan wabak virus Nipah.
Selain SARS pada 2002/2003, kita juga berdepan dengan wabak MERS-CoV iaitu koronavirus yang berasal dari timur tengah pada 2012. Terdapat 2298 kes dilaporkan dan 811 kematian.
Kadar kematian MERS-CoV amat tinggi iaitu 35 peratus (berbanding dua peratus koronavirus) dan ia dikatakan bermula dari kelawar dan unta yang merebak kepada jemaah yang mengerjakan umrah selepas ada di antara mereka yang minum susu dan air kencing unta mentah.
Seorang jemaah Malaysia meninggal dunia pada 2012 di Johor dan satu kes lagi dicatatkan pada 2018 (mangsa hidup). Faktanya, tiada kes jangkitan MERS-CoV dalam negara dilaporkan.
Berbalik kepada kebimbangan rakyat marhaen seperti saya, ia berasas dan bersebab berdasarkan fakta-fakta di atas. Pun begitu sebagai warganegara Malaysia, tentunya kita meyakini kemampuan KKM dalam menangani penularan wabak koronavirus ini.
Apatah lagi ketika Indeks Keselamatan Kesihatan Global yang dilancarkan Oktober lalu, beberapa bulan sebelum penularan koronavirus, meletakkan Malaysia di kedudukan ke-18 dalam kalangan 195 negara dari segi kesiapsiagaan menghadapi wabak penyakit dan ketiga di Asia di belakang Thailand dan Korea Selatan.
Pun begitu, kita berharap SKMM dan PDRM akan mengambil tindakan pantas terhadap penyebar khabar angin atau berita palsu yang tentunya boleh “membunuh” rasional, 30 juta rakyat Malaysia dalam isu koronavirus.
Tentunya dalam soal berita palsu, kita mempunyai “ubat” dalam bentuk Seksyen 233 AKM 1998 atau Seksyen 505 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Jika kaedah terbaik menangani penularan jangkitan koronavirus adalah langkah pencegahan dengan menjaga kebersihan diri, maka langkah pencegahan juga perlu dilakukan ke atas penularan wabak berita palsu bersalut Xenophobia ini. –- AlHijrah Online
Penulis adalah Editor Berita dan Penerbit AlHijrah Media Corporation.

Penafian: Artikel yang disiarkan AlHijrah Online ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak menggambarkan pendirian Editorial AlHijrah Media Corporation dalam isu yang dikupas.