KURANG BEKALAN AKIBAT MUSIM TENGKUJUH PUNCA KENAIKAN HARGA SAYUR

KUALA LUMPUR: Bekalan sayur segar yang sukar diperoleh didakwa antara sebab utama kenaikan harga sayur dua kali ganda.

Peniaga yang ditemui memaklumkan, pembekal sayur tidak dapat memenuhi permintaan semasa akibat musim tengkujuh yang melanda di kebanyakkan negara.

Tinjauan krew Berita Alhijrah di Pasar Selayang pagi tadi mendapati, antara sayuran yang mengalami kenaikan harga termasuklah kubis bunga, sawi pendek, brokoli, sawi, kacang buncis, kubis, cili merah dan cili hijau.

Peniaga berkata masalah itu berlaku hampir setiap hujung tahun dan keadaan diburukkan dengan isu COVID-19 yang juga menyebabkan aktiviti penanaman dan penghantaran bekalan sayur menjadi sukar.

Sementara itu pengguna yang ditemui berkata, mereka memahami punca kenaikan harga sayur namun berharap kerajaan melakukan sesuatu untuk mengurangkan beban pengguna.

“Sejak beberapa minggu ni memang harga sayur naik melambung lambung jadi kita terutamanya golongan B40 ni terkesan sebab sayur ni makanan utama, jadi kalau harga sayur sendiri mahal macam mana keperluan kita yang lain,” kata Sharifah Jamilah Syed Imam.

Media sebelum ini melaporkan harga beberapa jenis sayur naik sehingga 200 peratus dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini.

Pengguna yang berdepan dengan sebarang masalah berkaitan boleh menyalurkan aduan kepada KPDNHEP dengan menghubungi  Pusat Arahan Penguatkuasaan (Enforcement Command Centre) : 03-8882 6088 / 03-8882 6245 atau portal e-aduan kpdnhep (https://eaduan.kpdnhep.gov.my). –AlHijrah Online

Leave a Reply